top of page

DBKL cadang bina ruang takungan air bawah tanah


Keadaan banjir kilat di kawasan berhampiran Masjid Jamek di ibu negara. - NSTP/ HAZREEN MOHAMAD

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bercadang membina ruang takungan air bawah tanah sebagai persediaan jangka panjang untuk berdepan risiko cuaca ekstrem di ibu negara menjelang 10 tahun akan datang.


Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah, berkata cadangan itu alternatif kepada kolam takungan air sedia ada yang dibina di permukaan tanah yang sering dilapor mencapai kapasiti maksimum ketika hujan lebat berterusan.


Sehubungan itu, katanya, perbincangan terperinci berhubung idea berkenaan membabitkan beberapa pakar dalaman DBKL sedang dibuat, selain pihak perunding akan dilantik sejurus proses berkenaan selesai.


Beliau berkata, pihak perunding projek berkemungkinan diberi tempoh tiga bulan untuk menyediakan pelan pembangunan ruang takungan air bawah tanah itu dengan mengambil kira jumlah air banjir dan pemilihan lokaliti bersesuaian.


"Pembinaan ruang takungan air bawah tanah ini wajar sebagai tambahan kepada sistem tebatan banjir sedia ada. Namun, ia memerlukan kajian terperinci bergantung kadar taburan hujan dan beberapa aspek lain.


"Kita juga perlu meneliti saiz, panjang dan keluasan sesuai jika ruang takungan air bawah tanah ini mahu dibangunkan bagi menampung jangkaan taburan hujan semasa," katanya ketika ditemui selepas sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia, di sini hari ini.


Beliau mengulas laporan muka depan BH mengenai jangkaan Malaysia khususnya Lembah Klang yang sedang melalui proses urbanisasi pesat berisiko dilanda cuaca lebih ekstrem termasuk cuaca panas melebihi 37 darjah Celsius, selain kekerapan berlaku ribut petir lebih kuat dan puting beliung.


Mengenai jangkaan pembinaan ruang takungan air bawah tanah itu dimulakan, Mahadi berkata, perincian mengenainya hanya dapat dikenal pasti selepas pihak perunding dilantik bagi projek berkenaan selesai menyediakan pelan pembangunan infrastruktur terbabit.


Ditanya desas-desus pembinaan Terowong Jalan Raya dan Pengurusan Air Banjir (SMART) kedua, Mahadi berkata, pihaknya menjalinkan kerjasama erat dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengenal pasti lokaliti sesuai untuk dimuatkan dalam jajaran projek itu jika ia dilaksanakan kelak.


Sumber: Berita Harian

コメント


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page