top of page

Projek LRT Pulau Pinang tak boleh abai kehijauan alam sekitar - Yang Dipertua Pulau Pinang


Projek LRT Pulau Pinang tak boleh abai kehijauan alam sekitar - Yang Dipertua Pulau Pinang
Gambaran Projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang.

Projek LRT Pulau Pinang tak boleh abai kehijauan alam sekitar - Yang Dipertua Pulau Pinang

GEORGETOWN: Projek Transit Aliran Ringan (LRT) di Pulau Pinang diharapkan tidak mengabaikan kehijauan alam sekitar di kawasan yang dirancang menjadi jajaran laluan pengangkutan awam itu.


Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, berkata projek mega yang dinantikan sejak sekian lama dan dijangka membabitkan kos RM10 bilion hingga RM13 bilion itu turut tidak boleh menidakkan atau mengabaikan peniaga kecil dan sederhana di kawasan terbabit.


"Di samping memberi tumpuan pada jajaran stesen dan depoh yang lebih strategik, pihak berkenaan perlu mengambil kira kepentingan kerajaan negeri tanpa menidakkan atau mengabaikan kehijauan alam sekitar serta peniaga kecil dan sederhana di kawasan yang bakal dirancang.


"Saya menaruh keyakinan pembinaan projek ini yang akan membabitkan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) dengan kerjasama Kerajaan Negeri dapat dilaksanakan dengan segera," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini, hari ini.


Media pada Mac lalu melaporkan projek LRT Pulau Pinang telah menerima kelulusan Kabinet dan secara rasminya menjadi projek Kerajaan Persekutuan dengan syarikat milik Kementerian Kewangan, MRT Corp telah dilantik sebagai pemaju projek dan pemilik aset.


Jajaran LRT itu dirancang sepanjang 29 kilometer dari Pulau Silikon ke Penang Sentral dan akan mempunyai 20 stesen, termasuk dua stesen pertukaran di Komtar dan Penang Sentral yang akan berhubung dengan rangkaian KTM Komuter dan perkhidmatan tren elektrik (ETS) sedia ada.


Terdahulu, Ahmad Fuzi menyatakan penghargaannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan beliau membantu Pulau Pinang untuk terus membangun melalui kelulusan peruntukan pembangunan yang lebih tinggi untuk kesejahteraan rakyat di negeri itu.


Beliau turut menghargai komitmen Anwar dalam menyediakan peruntukan Projek Air Perak - Pulau Pinang bagi membolehkan air terawat dapat dibekalkan dari Sungai Perak ke Pulau Pinang sekali gus menunjukkan Kerajaan Madani prihatin dalam menangani krisis bekalan air untuk jangka panjang bagi penduduk Pulau Mutiara.


Beliau dalam pada itu turut memaklumkan, kerajaan negeri telah memohon 93 projek di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) bagi Pulau Pinang.


"Semua projek ini membabitkan anggaran kos keseluruhan berjumlah RM17.7 bilion dan peruntukan yang diperlukan bagi tahun 2025 adalah berjumlah RM2.8 bilion.


"Saya memohon agar Kerajaan Persekutuan akan dapat mempertimbangkan kesemua permohonan ini sebaiknya sejajar dengan rekod dan prestasi kecemerlangan yang dikecapi oleh negeri ini," katanya.



Projek LRT Pulau Pinang tak boleh abai kehijauan alam sekitar - Yang Dipertua Pulau Pinang


Comentarios


bottom of page