top of page

Pembinaan LRT Pulau Pinang dijadual dalam tempoh terdekat


Pembinaan LRT Pulau Pinang dijadual dalam tempoh terdekat
LRT Pulau Pinang sebahagian daripada projek mega domestik yang akan memulakan kerja pembinaan tidak lama lagi - Gambar hiasan

Pembinaan LRT Pulau Pinang dijadual dalam tempoh terdekat

KUALA LUMPUR: Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang dijangka memulakan pembinaan dalam masa terdekat ini, demikian menurut RHB Investment Bank.


Penganalisisnya, Adam Mohamed Rahim, berkata maklumat terbaharu berkenaan projek itu mungkin akan diumumkan sewaktu sesi persidangan Parlimen yang berakhir bulan ini.


Beliau berkata, LRT Pulau Pinang adalah sebahagian daripada beberapa projek mega domestik yang dijangka memulakan kerja-kerja pembinaan pada bulan-bulan akan datang.


"Antara projek lain termasuklah projek tebatan banjir untuk seluruh negara yang menelan perbelanjaan sebanyak RM1.8 bilion di bawah Belanjawan 2024 dan pembinaan semula lima stesen LRT3.


"Bagi Transit Aliran Massa 3 (MRT3), kami ramalkan projek ini akan mula dibina selepas suku keempat 2024 memandangkan MRT Corp hanya akan memuktamadkan pengambilalihan tanah pada suku ketiga 2024," katanya dalam satu nota penyelidikan.


Adam berkata, sementara menunggu pelancaran projek terbabit berjalan, bank pelaburan itu lega kerana beberapa projek swasta mungkin akan terus berkembang naik khususnya dalam sektor perindustrian.


Beliau berkata, menurut laporan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), nilai urus niaga bagi hartanah perindustrian meningkat 13.1 peratus tahun ke tahun pada tahun 2023, dengan bekalan hartanah perindustrian baharu yang telah dirancangkan menyaksikan pertumbuhan kukuh mencecah hampir 200 peratus kepada 1,372 unit berbanding hanya 468 unit pada 2020.


"Dengan ini, syarikat kontraktor sepatutnya mampu menjana pendapatan yang baik untuk tempoh akan datang dengan menarik pelaburan asing ke Malaysia ia merupakan potensi yang dapat meningkatkan permintaan bagi kemudahan kilang dan gudang untuk dibangunkan.


"Faktor pemangkin lain yang penting untuk sektor ini adalah permohonan maklumat mengenai projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) akan mengambil masa yang lebih singkat daripada jangkaan," katanya.


Adam berkata, setelah meneliti senarai 10 syarikat di bawah liputan RHB Investment Bank yang melaporkan keputusan kewangan, empat syarikat didapati menepati keputusan, dua berjaya melangkaui jangkaan dan empat lagi gagal mencapai anggaran ditetapkan.


Katanya, empat syarikat yang mencatat keputusan tersasar ini rata-ratanya adalah syarikat dalam bidang kerja tanah dan pembinaan cerucuk yang masih lagi terkesan oleh bebanan kos berlebihan.


"Secara keseluruhannya, kami percaya syarikat kontraktor sepatut terus merekodkannya bil peringkat siap lebih tinggi.


"Hal ini demikian kerana jumlah nilai kerja yang telah dijalankan mencecah RM34.1 bilion, iaitu rekod tertinggi yang pernah dicatatkan dalam tempoh 15 suku tahun berikutan bekalan buruh yang mencukupi," katanya.


Mengulas lanjut, Adam berkata bahawa Gamuda, Kerjaya Prospek, dan SunCon ialah syarikat pilihan utama bank pelaburan itu kerana mereka memaparkan potensi baik untuk menjana perolehan sepanjang dua tahun akan datang.


Katanya, Gamuda mempunyai kehadiran yang besar di luar negara sambil masih lagi aktif dalam pasaran tempatan.


"Kerjaya Prospek dan SunCon bukan sahaja mempunyai perancangan projek yang mantap daripada urus niaga pihak berkaitan dengan syarikat induk mereka, tetapi mereka turut terbabit dalam kerja-kerja perindustrian," katanya.



Pembinaan LRT Pulau Pinang dijadual dalam tempoh terdekat

bottom of page