top of page

Projek KLIP dimulakan suku pertama 2021



ALOR GAJAH: Projek pembinaan Pelabuhan Antarabangsa Kuala Linggi (KLIP) bernilai RM15 bilion di Kuala Linggi, dekat sini akan dimulakan pada suku pertama tahun hadapan.


Pengarah Urusan KLIP, Datuk Seri Noor Mustafa Kamal Yahya, berkata projek berkenaan dijangka mengambil tempoh antara lima hingga lapan tahun untuk disiapkan di atas tanah ditambak atas laut berkeluasan 248 hektar.


Katanya, setakat ini syarikat masih dalam peringkat menyelesaikan beberapa aspek berkaitan kelulusan projek yang dijangka selesai tidak lama lagi.

"Kerja menambak laut kira-kira lima batu nautika dari daratan akan dilaksanakan Linggi Base Sdn Bhd (LBSB). Pelabuhan ini akan mempunyai infrastruktur seperti tangki simpanan cecair, limbungan pembaikan kapal, fabrikasi komponen minyak dan gas serta dermaga untuk kapal berlabuh.


"Syarikat kami sedia ada, TAG Marine Sdn Bhd di Kuala Linggi berpengalaman luas memberikan perkhidmatan kepada 8,000 kapal yang berlabuh di persisiran pantai sepanjang 16 tahun.


"Sekarang kami akan membina pelabuhan bertaraf antarabangsa yang bakal memajukan ekonomi Kuala Linggi dan Melaka secara keseluruhannya," katanya.


Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan sumbangan sempena Aidiladha kepada 185 nelayan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, hari ini.


Sumbangan RM200 untuk setiap nelayan itu disampaikan Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali bagi membantu mereka membuat persiapan menyambut perayaan.


Noor Mustafa berkata, berdasarkan kajian perunding projek itu dari Rotterdam, Belanda, pembinaan KLIP mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada 115,000 pekerja.


Beliau berkata, apabila pelabuhan itu beroperasi sepenuhnya, 60 peratus daripada 6,000 pekerja terbabit adalah yang berkemahiran tinggi, selain kejuruteraan teknikal (30 peratus) dan pengurusan (10 peratus).


"Ia bakal mewujudkan peluang perniagaan baharu kepada usahawan tempatan, selain menjadi penyumbang utama kepada ekonomi negeri dan negara melalui sektor pembekalan, perkhidmatan pelabuhan dan marin, pengurusan kapal dan perundangan serta cukai," katanya.



33 views
bottom of page