KOTA BHARU: Kerja pembinaan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sudah mencapai kemajuan lebih 40 peratus setakat ini.
Menteri di Kedutaan China ke Malaysia, Tang Rui, berkata kemajuan projek berkenaan menggembirakan kerana ia akan memberi manfaat kepada penduduk negara ini dan Kelantan.
Selain itu, katanya, projek itu akan mengimbangkan pembangunan di antara Kelantan dengan negeri lain di Semenanjung.
Bagi pembinaan jajaran di Seksyen A (dari Kota Bharu ke Dungun) dan B (Dungun ke Mentakab), ia dijangka siap pada 2026, manakala Seksyen C (Mentakab ke Pelabuhan Klang) pada 2027.
"Saya gembira melihat kemajuan projek ECRL yang menunjukkan kerjasama di antara Malaysia dengan China," katanya pada sidang media pada Sambutan Ulang Tahun ke-10 Inisiatif Jalur dan Laluan (Belt and Road Initiative) di Peringat, di sini.
Yang hadir sama, Timbalan Pengerusi Pentadbiran Awam, Pembangunan Wilayah, Kesejahteraan Masyarakat dan Integriti negeri, Mohd Huzaimy Che Husin dan Timbalan Pengarah Projek ECRL Sdn Bhd, Ye Xiao Lee.
Rui berkata, kerjasama Malaysia dan China dalam ekonomi tahun lalu menghasilkan lebih 200 bilion dolar Amerika Syarikat (AS), khususnya dalam ekonomi digital, pembangunan hijau dan sumber tenaga.
"Persahabatan dan kerjasama yang baik antara dua negara ini dapat dilihat apabila bersama-sama memerangi pandemik (COVID-19) dan membantu antara satu sama lain melalui bencana alam," katanya.
Sumber: Berita Harian
댓글