top of page

Peruntukan RM1.7 bilion untuk projek pembetungan seluruh negara


Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.7 bilion dalam Rolling Plan 3 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk membangunkan infrastruktur mampan menerusi pelaksanaan projek pembetungan di seluruh negara.
Gambar hiasan: Malaysia mencapai 85.4 peratus perkhidmatan pembetungan di bandar-bandar utama dan menyasarkan untuk mencapai 90 peratus liputan pembetungan menjelang akhir RMK12 pada 2025.

Kuala Lumpur: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan RM1.7 bilion dalam Rolling Plan 3 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) untuk membangunkan infrastruktur mampan menerusi pelaksanaan projek pembetungan di seluruh negara.


Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk memodenkan infrastruktur pembetungan dan menyediakan perkhidmatan pembetungan yang cekap dan berkualiti kepada rakyat.


Menurutnya, setakat ini, Malaysia mencapai 85.4 peratus perkhidmatan pembetungan di bandar-bandar utama dan menyasarkan untuk mencapai 90 peratus liputan pembetungan menjelang akhir RMK12 pada 2025.


"Pemodenan sektor pembetungan negara melibatkan proses menaik taraf loji rawatan kumbahan yang tidak berkesan dan tidak menjimatkan kos serta menutup loji rawatan bersaiz kecil kerana penduduk dan aktiviti ekonomi yang berkembang.


"Inisiatif itu juga penting untuk memastikan efluen yang dilepaskan mematuhi peraturan alam sekitar yang ketat, terutamanya tentang pencemaran sumber air," katanya dalam ucapan perasmian Trenchless Asia 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini, hari ini.


Teks ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Wan Abd Rahim Wan Abdullah.


Nik Nazmi berkata, kementerian mengambil konsep penyerantauan dalam pembangunan infrastruktur pembetungan di kawasan bandar berkepadatan tinggi yang menggalakkan pembinaan loji rawatan kumbahan dengan skala yang sesuai bagi memenuhi keperluan komuniti lebih besar.


Sementara itu, Nik Nazmi berkata, potensi sektor pembetungan di Malaysia masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.


"Tiga produk sampingan loji rawatan kumbahan sebagai contoh biopepejal, bioefluen dan biogas, kesemuanya mempunyai potensi ekonomi untuk dikomersialkan. Sebagai contoh bioefluen, kerajaan telah meletakkan agenda khusus untuk menggunakan efluen terawat untuk tujuan tertentu.


"Menerusi inisiatif ini, kerajaan menyasarkan untuk menghasilkan 1,500 JLH (juta liter sehari) air tebus guna menjelang 2030, kebanyakannya digunakan untuk kegunaan yang tidak boleh diminum dan sebagai sumber air alternatif untuk industri tertentu," katanya.


Sumber: Harian Metro


Comments

Couldn’t Load Comments
It looks like there was a technical problem. Try reconnecting or refreshing the page.
bottom of page