Perundangan komprehensif tangani isu keselamatan, kesihatan pekerja



KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia dalam proses mewujudkan perundangan lebih komprehensif bagi menangani isu keselamatan dan kesihatan pekerjaan terutama di sektor pembinaan di negara ini.


Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dalam kenyataannya berkata, ia akan dilaksana menerusi Peraturan Keselamatan & Kesihatan Pekerjaan (Reka Bentuk Pembinaan & Pengurusan) yang dijangka diwartakan suku pertama tahun depan.


Katanya, inisiatif menerusi JKKP itu dibuat selepas mengadakan sesi libat urus bersama pemegang taruh utama dalam sektor pembinaan di negara ini.


“Peraturan ini menitikberatkan tanggungjawab dan pembabitan ‘duty-holder’ secara mandatori termasuk pemilik projek, pereka bentuk dan kontraktor binaan.

“Ia dibuat berdasarkan falsafah ‘Self-Regulation’, tanggungjawab untuk memastikan aspek keselamatan dan kesihatan pekerjaan di tempat kerja adalah terletak kepada mereka yang mewujudkan risiko serta bekerja dengan risiko berkenaan,” katanya.


Kenyataan itu menyebut, skop peraturan akan lebih luas berbanding peraturan sedia ada kerana ia merangkumi keseluruhan kitaran hayat bangunan dari fasa reka bentuk, pembinaan, operasi dan selenggaraan hingga ke peringkat perobohan binaan.


“Peraturan ini menitikberatkan analisa risiko dibuat ketika fasa reka bentuk dan akan menggantikan peraturan sedia ada iaitu Peraturan Kilang Dan Jentera (Kendalian Bangunan Dan Kerja Binaan Kejuruteraan) (Keselamatan) 1986 (BOWEC) yang bersifat preskriptif serta mempunyai skop terhad kepada fasa pembinaan saja,” katanya.


Sebelum ini, garis panduan Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan di Industri (OSHCIM) sudah dikeluarkan pada 2017.


Mengikut rekod JKKP, sektor pembinaan antara sektor mempunyai kadar kemalangan maut tinggi iaitu 13.4 bagi setiap 100,000 pekerja dan secara purata, 4,000 kes kemalangan berlaku pada 2015 hingga 2018.


Kadar ini, katanya, tiga kali ganda lebih tinggi daripada purata kadar kemalangan maut negara pada 2018 iaitu 4.14 per 100,000 pekerja.


“Sehingga bulan lalu, sebanyak 123 tindakan pendakwaan sudah dilaksanakan, 1,109 tindakan kompaun diselesaikan membabitkan keseluruhan penalti kira-kira RM3.7 juta dan 4,244 notis larangan dikeluarkan ketika aktiviti penguatkuasaan dijalankan,” katanya.


Sumber: Berita Harian


#evolusibina #JKKP

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.