top of page

Persatuan kontraktor binaan rayu diberikan pengecualian cukai


Persatuan kontraktor binaan rayu diberikan pengecualian cukai
Industri pembinaan bimbang terhadap kenaikan cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus dan perkhidmatan logistik pula akan dikenakan cukai sebanyak enam peratus pada 1 April 2024 -NSTP/ASYRAF HAMZAH

Persatuan kontraktor binaan rayu diberikan pengecualian cukai

KUALA LUMPUR: Persatuan Kontraktor Binaan Malaysia (MBAM) 'mendesak' kerajaan supaya mempertimbangkan pengecualian cukai untuk perkhidmatan intrakumpulan dalam logistik dan perkhidmatan penyelenggaraan serta pembaikan, yang 'bukan sahaja untuk perkhidmatan bercukai yang sama di bawah perkhidmatan logistik'.


Presidennya Oliver HC Wee berkata persatuan itu juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pengecualian cukai perniagaan ke perniagaan (B2B) untuk perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan kerana ia tidak tersedia pada masa ini.


"Ini bagi mengelakkan cukai pelbagai peringkat ke atas produk dan perkhidmatan yang sama. Jika kerajaan boleh mempertimbangkan untuk menerima rayuan kami, ini akan membantu ahli kami dan industri pembinaan mendapatkan sedikit pelepasan yang amat diperlukan dengan kenaikan cukai perkhidmatan semasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Rayuan oleh MBAM itu susulan kebimbangan daripada pihak persatuan dan industri pembinaan terhadap kenaikan cukai perkhidmatan daripada enam peratus kepada lapan peratus dan perkhidmatan logistik pula akan dikenakan cukai sebanyak enam peratus pada 1 April 2024.


Wee berkata, kenaikan itu, terutamanya dengan keterangkuman perkhidmatan logistik yang lebih meluas, memberi kesan kepada industri pembinaan dan pemegang kepentingannya.


Sehubungan itu, beban kewangan tambahan kepada pengguna tidak dapat dielakkan dan mengakibatkan kenaikan kos barangan, menjejaskan kemampuan dan kebolehcapaian bahan-bahan binaan.


"Ahli-ahli MBAM bimbang bahawa kenaikan cukai seperti itu boleh menghalang pertumbuhan ekonomi. Sektor pembinaan yang merupakan tonggak ekonomi Malaysia, memainkan peranan penting dalam mewujudkan peluang pekerjaan dan memupuk pembangunan infrastruktur. Sebarang halangan kepada kemajuannya akan memberi kesan jangkauan yang luas kepada kadar pekerjaan dan kemakmuran negara," katanya.



Persatuan kontraktor binaan rayu diberikan pengecualian cukai

9 views
bottom of page