top of page

'Perlu pinda Akta 118, pastikan tindakan lebih tuntas atasi projek terbengkalai' - Akmal Nasrullah


'Perlu pinda Akta 118, pastikan tindakan lebih tuntas atasi projek terbengkalai' - Akmal Nasrullah
Gambar hiasan

'Perlu pinda Akta 118, pastikan tindakan lebih tuntas atasi projek terbengkalai' - Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR: Pindaan terhadap Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesanan) 1966 (Akta 118) perlu dilaksanakan bagi memastikan kawalan yang lebih menyeluruh, terutama bagi menangani projek perumahan terbengkalai di negara ini.


Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata melalui pindaan itu, penguatkuasaan lebih tegas boleh dilaksanakan, terutama melalui tindakan menyenarai hitam pemaju yang tidak bertanggungjawab.


"Bagi (tindakan) penyenaraian hitam, sebenarnya ia tak terguna pakai dalam akta itu. Dalam akta, tidak disebut secara khusus bahawa KPKT (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan) ada kuasa untuk senarai hitam yang membolehkan ia diguna pakai dengan pihak lain seperti pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau agensi lain.


"Maka untuk langkah panjang, mahu atau tidak pindaan Akta 118 ini amat diperlukan supaya apa yang kita usahakan di peringkat KPKT ini bukan hanya secara 'silo' di bawah kawalan kami. Ini memandangkan industri perumahan terkait dengan banyak pemegang taruh termasuk agensi berkaitan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.


Beliau menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang ingin tahu perkembangan terkini cadangan pindaan Akta 118.


Akmal Nasrullah berkata, antara cabaran besar yang turut dihadapi KPKT adalah ketiadaan penyelarasan undang-undang di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.


"Sebagai contoh, pernah timbul kes pada tahun ini membabitkan projek sakit. Ia dilaporkan di Semenanjung, tetapi sebenarnya sudah ada sejarah silam, projek (pemaju sama) di Sabah Sarawak. Ini masalah yang timbul disebabkan tidak ada penyelarasan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak.


"Ini berlaku disebabkan Sabah dan Sarawak menggunakan ordinan atau enakmen. Justeru, ini bermakna perlu kepada kerjasama rapat di antara (kerajaan) Sabah, Sarawak dengan KPKT bagi menangani pelbagai isu perumahan," katanya.


Dalam pada itu, Akmal Nasrullah berkata, sehingga 30 September lalu Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai (TFST) berjaya memulihkan 301 projek perumahan swasta dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM28.88 bilion.


"KPKT turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani projek perumahan sakit dan terbengkalai merangkumi pemantauan yang lebih kerap, termasuk pembekuan Akaun Pemajuan Perumahan (HDA) bagi projek sakit terpilih untuk mengelakkan pengeluaran wang secara tidak bertanggungjawab oleh pemaju.


"Selain itu, kementerian turut menyenarai hitam pemaju dan Ahli Lembaga Pengarah dan menyekat pemaju projek sakit daripada memohon permit iklan serta jualan yang baharu selagi projek sakit sedia ada belum disiapkan dengan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) penuh," katanya.


Sumber: Berita Harian


'Perlu pinda Akta 118, pastikan tindakan lebih tuntas atasi projek terbengkalai' - Akmal Nasrullah

4 views

Comments


bottom of page