top of page

Pengarah syarikat terlibat projek terbengkalai, 'sakit' akan disenarai hitam


Pengarah syarikat terlibat projek terbengkalai, 'sakit' akan disenarai hitam
Gambar hiasan: Pemaju yang gagal membayar kompaun, ingkar keputusan Tribunal Pembeli Rumah dan melaksanakan pembinaan perumahan tanpa lesen juga akan disenarai hitam.

Pengarah syarikat terlibat projek terbengkalai, 'sakit' akan disenarai hitam

KUALA LUMPUR: Pengarah syarikat yang terlibat dalam projek perumahan terbengkalai atau sakit akan disenarai hitam mengikut Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Perlesenan) 1966 yang sedang diperhalusi pada ketika ini.


Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, selain itu pemaju yang gagal membayar kompaun, ingkar keputusan Tribunal Pembeli Rumah dan melaksanakan pembinaan projek perumahan tanpa lesen juga akan disenarai hitam.


"Mereka juga akan dihalang daripada memohon lesen pemajuan perumahan dan permit iklan dan jualan," katanya di Dewan Rakyat di sini, pada Rabu. Beliau berkata demikian kepada soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (Jempol-BN) yang meminta Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan menyatakan adakah terdapat cadangan pindaan terhadap Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118].


Akmal Nasrullah berkata, penambahbaikan itu adalah bertujuan untuk memperkasa tadbir urus dan pengurusan pemajuan perumahan yang efisien, memastikan hak dan kepentingan pembeli rumah terpelihara selain memudah cara pemajuan perumahan swasta ke arah kelestarian sektor perumahan.


Selain itu katanya, pindaan dan penambahbaikan turut melibatkan pengukuhan definisi projek terbengkalai dalam menguruskan pemantauan projek perumahan.


"Pada masa ini, tafsiran projek terbengkalai yang digunapakai agak longgar. Pengukuhan tafsiran ini akan ditambah baik bagi memboleh pemantauan yang lebih berkesan dilaksanakan," ujarnya.


Selain itu beliau memberitahu, kerajaan juga sedang mengkaji cadangan untuk meningkatkan jumlah modal diterbitkan dan modal terkumpul secara tunai bagi syarikat pemaju yang hendak mengemukakan permohonan lesen pemajuan perumahan.


"Pada masa sama, kerajaan juga bercadang untuk memperkenalkan kontrak opsyen praperjanjian jual beli dengan syarat terperinci.


"Kontrak opsyen ini menyediakan ruang keluar di pihak pemaju dan juga pembeli rumah dan tidak melibatkan implikasi kewangan yang tinggi sekiranya pemajuan perumahan tersebut tidak dapat diteruskan disebabkan pemaju gagal mendapat jumlah jualan yang disasarkan di dalam satu tempoh masa," tambahnya.


Buat masa ini, Akmal Nasrullah memberitahu, kerajaan menubuhkan Pasukan Petugas Projek Perumahan Swasta Sakitdan Terbengkalai.


"Menerusi task force ini, kementerian memberi penekanan kepada empat elemen utama sebagai terma rujukan iaitu pengenalpastian, penyelesaian, pencegahan dan cadangan model ke hadapan.


"Pemantauan melalui task force ini untuk membuat facts finding dan due diligence untuk mengenal pasti kaedah dan mekanisme terbaik dan berfokus untuk penyelesaian projek perumahan swasta bermasalah," jelasnya.


Dalam pada itu, katanya kerajaan meningkatkan kawal selia melalui prosedur sedia ada di bawah Akaun Pemajuan Perumahan yang wajib dibuka oleh setiap pemaju perumahan swasta berlesen di Semenanjung Malaysia.


"Tujuan akaun ini adalah untuk simpanan deposit bagi pemaju untuk mendapatkan lesen pemajuan dan pinjaman kewangan untuk pembinaan oleh pemaju.


"Akhir sekali, pemantauan yang lebih berkesan kepada pemaju perumahan swasta melalui penambahbaikan sistem Housing Integrated Management System (HIMS)," jelasnya.


Sumber: Astro Awani


Pengarah syarikat terlibat projek terbengkalai, 'sakit' akan disenarai hitam


Komentarze


bottom of page