top of page

Perjelas spekulasi beli mahal untuk projek tambak Pulau Pinang-MTEM


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR 3 Julai - Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) meminta penjelasan Kementerian Kewa­ngan sama ada pengambilalihan Gamuda Bhd. pada harga yang tinggi adalah untuk memastikan syarikat itu mempunyai dana mencukupi bagi membiayai projek penambakan di Pulau Pinang.


Ketua Pegawai Eksekutif­nya, Ahmad Yazid Othman berkata, dengan membayar Gamuda pada kadar terlalu tinggi, Kementerian Kewangan bukan sahaja membebaskan Gamuda daripada kadar penurunan lalu lintas di rangkaian lebuh raya yang dimilikinya tetapi juga memastikan projek penambakan Pulau Pinang akan dilaksanakan.


Katanya, MTEM berharap spekulasi itu tidak benar kerana ini bukan yang dimahukan oleh rakyat seperti di dalam falsafah Kemakmuran Bersama akan tetapi kemakmuran untuk golongan terpilih sahaja.


Beliau turut membidas hujah Kementerian Kewangan mengenai perbelanjaan seba­nyak RM6.2 bilion adalah wajar kerana pendapatan besar akan diraih daripada caj kese­sakan semasa waktu sibuk.


“Ini kerana, lalu lintas Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint Expressway) dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) milik Gamuda menurun sejak 2016 walaupun populasi Lembah Klang kian meningkat. Sprint Holdings menca­tatkan kerugian bagi tiga tahun berturut-turut dan menjadi lia­biliti yang sema­kin berat kepada Gamuda.


“Penurunan penggunaan lebuh raya berkenaan susulan perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) dan pengenalan Kad RapidKL RM100 tanpa had,” katanya dalam kenya­­ta­an di sini hari ini.Gamuda adalah pemegang saham terbesar dalam Konsortium SRS, iaitu pemaju atau Rakan Pelaksana Projek (PDP) yang dilantik kerajaan negeri untuk me­ngendalikan Pelan Induk Peng­angkutan (PIP) Pulau Pinang.


MIDF Research berpendapat, potensi keuntungan tunai itu akan digunakan untuk projek lain, termasuk pembiayaan projek infrastruktur meganya di Pulau Pinang.


MTEM menantikan dasar-dasar yang akan menggalakkan keusahawanan sebenar dalam kalangan bumiputera terutamanya susulan pengumuman falsafah Kemakmuran Bersama yang akan menjadi tulang belakang kepada Rancangan Malaysia ke-12 yang akan dilaksanakan dari 2021-2025.


Dalam perkembangan lain, Ahmad Yazid berpendapat rancangan untuk menggabungkan Axiata Group Bhd. dan Tele­nor-Asia mungkin akan melepaskan sebahagian pegangan penting negara kerana kerajaan Malaysia hanya diberi 43.5 pe­ratus daripada pemilikan entiti tergabung yang kini dipanggil MergedCo.


Tambah beliau, biarpun pada masa dahulu, Axiata dan syarikat milik kerajaan (GLC) lain dimiliki secara majoriti oleh kerajaan, kesungguhan mereka untuk melaksanakan agenda nasional tetap kurang memuaskan.


“Kini dengan Axiata tidak lagi dikawal kerajaan, adakah akan ada usaha oleh Telenor untuk menghapuskan segala agenda nasional daripada MergedCo?


“Tidak wajar bagi Kementerian Hal-Ehwal Ekonomi (KHEA) untuk menggadaikan agenda nasional, sejarah menunjukkan bahawa pemimpin kerajaan dan GLC telah cuai berkenaan isu ini dan kerap kali memberikan alasan bagi kegagalan mereka. Agenda Bumiputera adalah sebahagian agenda nasional,” tegas beliau.



12 views
bottom of page