top of page

Penguasaan teknologi AI tingkat gaya hidup manusia dalam pelbagai aspek


Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Universiti Utara Malaysia (UUM)
Azizi (lima kiri) menerima cendera hati daripada Zawawi (empat kiri) selepas sesi webinar di UMS. - Foto UMS

Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Universiti Utara Malaysia (UUM)

KUALA LUMPUR: Penguasaan Teknologi Kecerdasan Buatan (AI) penting bagi meningkatkan kecekapan produktiviti dan menukar landskap kehidupan manusia sejajar dengan kemajuan teknologi dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi, sosial, perindustrian dan pendidikan.


Pengarah Pusat Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr Azizi Abdul Aziz berkata kesan perkembangan AI kepada cara hidup manusia dapat dilihat menerusi aspek interaksi manusia dengan sistem pintar, pembuat keputusan, autonomi dan campur tangan manusia, kreativiti dan seni, kepercayaan ke atas mesin atau robot, hala tuju sumber daya dan pekerjaan dan impak kepada ekonomi.


Beliau berkata, AI dapat dibentuk menerusi dua cara iaitu teori dan kepakaran manusia yang diolah secara langsung dan menggunakan data.


"Sebagai contoh, jika saya ingin membina satu sistem yang boleh mendengar serta memahami atau mendiagnos penyakit jantung, saya perlu menemubual pakar jantung atau membuat analisis langsung terhadap isyarat denyutan jantung.


"Sistem AI tidak boleh dilakukan dengan hanya menggunakan teknologi komputer semata malah ia perlu membabitkan individu yang mempunyai pengetahuan dan kepakaran berkenaan sesuatu perkara.


"Aspek utama AI untuk hidup dengan kita adalah menerusi pemahaman terhadap profil tingkahlaku manusia," katanya dalam satu sesi webinar anjuran U Science Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.


Turut hadir, Ketua U-Science UMS, Zawawi Tiyunin.


Webinar itu diadakan bersempena Program 3S: Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Speaker Series U-Science UMS dengan sokongan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI), Sabah.


Program 3S itu juga adalah sebahagian daripada Karnival Sains Sabah 2023 yang bertujuan membudayakan STEM. Selain itu, U-Science juga akan mengadakan 23 lagi webinar dalam pelbagai tajuk berkaitan STEM sepanjang tahun ini.


Sementara itu, Azizi yang juga Felo Penyelidik di Makmal Penyelidikan Pengkomputeran Berpusatkan Manusia di Pusat Pengajian Pengkomputeran UUM berkata, pihaknya sudah pun membuat satu projek AI yang membantu dalam bidang kesihatan iaitu sistem robotik mesin terapi sosial.


Beliau berkata sistem ini dicipta bagi membantu individu yang mengalami masalah keresahan yang melampau dan tidak terkawal seperti berpeluh, mudah pengsan bahkan stres yang melampau sehingga depresi.


"Oleh itu, sistem AI ini akan bantu dalam memberi terapi untuk mengawal keresahan.


"Namun, untuk memahami masalah dan isu ini, ia bukan bergantung 100 peratus terhadap robot kerana perlu membabitkan kepakaran manusia dalam bidang psikologi.


"Teknologi membantu mengurangkan kebergantungan kepada manusia tapi tidak membuang keperluan adanya manusia secara mutlak atau langsung dalam bidang itu," katanya dengan menambah pelbagai aspek perlu dinilai bagi sesuatu reka cipta sistem AI.


Justeru, teknologi AI akan sentiasa berkembang maju dan memberi impak kepada pelbagai bidang termasuk ekonomi.


Katanya, ada satu kajian yang menjangkakan pada tahun 2030, AI akan menyumbang dan memberi nilai tambah sebanyak RM70.9 trillion kepada ekonomi global dengan China yang akan mendapat impak tertinggi iaitu sebanyak 26 peratus.


"Namun, AI tidak boleh membentuk sistem sendiri kerana ia harus bekerjasama serta berkembang seiring dengan bidang lain termasuk sosial, geologi, kesihatan dan ekonomi," katanya.


Sumber: Berita Harian


1 view

Comments


bottom of page