top of page

Pembantu akauntan JKR dipenjara 12 bulan kerana tuntutan palsu


Roslan Al Sidek Sulaiman dihukum penjara 12 bulan dan denda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen Ipoh, hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap 14 tuduhan menggunakan dokumen palsu bagi membuat tuntutan lebih RM75,000 lima tahun lalu. - Foto Sharul Hafiz Zam

IPOH: Seorang penjawat awam dihukum penjara 12 bulan dan denda RM70,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap 14 tuduhan menggunakan dokumen palsu bagi membuat tuntutan lebih RM75,000 lima tahun lalu.


Pembantu akauntan di Jabatan Kerja Raya, Roslan Al Sidek Sulaiman, 40, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, S Indra Nehru.


Mengikut pertuduhan, Roslan didakwa secara tidak jujur menggunakan dokumen palsu sebagai tulen iaitu pesanan penghantaran dan invois atas nama syarikat Aladin Emas Enterprise, Mizie Auto Enterprise dan Musmar Enterprise untuk tujuan tuntutan pembayaran pembelian bahan bakar iaitu petrol, diesel dan pelincir.

Tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan itu yang membabitkan tuntutan berjumlaj RM75,438.70 di Cawangan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Perak, Ipoh antara tahun 9 September 2014 hingga 7 Ogos 2015.


Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang boleh dihukum mengikut Seksyen 468 kanun sama, yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan didenda jika sabit kesalahan.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azmi Yusuf, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.


Susulan pengakuan bersalah itu, Azmi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan memberi mesej sangat jelas kepada penjawat awam bahawa kesalahan ini sangat serius yang membabitkan kerugian yang besar kepada kerajaan.


Tertuduh merayu hukuman diringankan atas alasan tidak mempunyai pendapatan selain sudah berkahwin, menanggung tiga orang anak dan ibu bapa.


Katanya, isterinya mempunyai penyakit darah tinggi dan kencing manis dan dia sendiri juga mengalami sakit jantung, darah tinggi dan Sirosis.


Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dihukum penjara selama 12 bulan dan denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan.


Hakim memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak, selain mengarahkan tertuduh dipenjara penjara tambahan 14 bulan, sekiranya gagal membayar denda berkenaan.



31 views
bottom of page