top of page

Pemain industri rayu kerajaan kaji semula peraturan industri pembinaan negara


Pemain industri rayu kerajaan kaji semula peraturan industri pembinaan negara Harian Metro www.hmetro.com.my
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP

Johor Bahru: Kerajaan diminta mengkaji semula beberapa peraturan dalam industri pembinaan yang kini terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran termasuk kos yang tinggi, kekurangan tenaga kerja dan peraturan industri yang agak ketat.


Persatuan Pembina Johor, Persatuan Pembina Melaka, Persatuan Pembina Perak serta Persatuan Pembinaan dan Bahan Pulau Pinang dalam satu kenyataan bersama berkata, mereka berharap agar kerajaan dapat mewujudkan semula persekitaran serta saingan yang sihat dan mampan dalam penstrukturan semula ekonomi.


Industri pembinaan bukan saja bertindak sebagai lokomotif ekonomi negara, ia turut mewujudkan peluang pekerjaan yang besar serta memikul misi pembinaan negara yang berkualiti.


"Kami amat berharap agar kerajaan dapat membenarkan projek pembinaan swasta menikmati layanan variasi harga yang sama seperti projek kerajaan, supaya pembina Malaysia dapat bersaing secara adil dalam persekitaran perniagaan yang sihat dan mewujudkan pembangunan mampan untuk industri pembinaan.


"Pada masa kini, terdapat kekurangan pekerja dalam industri pembinaan yang serius. Ternyata tiada rakyat tempatan yang berminat dalam industri pembinaan, justeru, kami berharap kerajaan dapat meringkaskan dan memudahkan proses permohonan pekerja asing untuk industri pembinaan.


"Kami berharap proses permohonan serta kelulusan boleh disiapkan dalam tempoh dua minggu dengan prosedur yang jelas, langsung dan dipermudahkan supaya pembina dapat membantu dalam pemulihan ekonomi negara," ujar kenyataan tersebut.


Kenyataan itu turut berkata, sejak era pasca wabak, struktur pasaran buruh asing di Malaysia telah mengalami perubahan yang amat besar walaupun kerajaan berusaha untuk memudahkan pelbagai aspek yang berkaitan.


"Masih terdapat kekurangan 550,000 hingga 600,000 pekerja binaan, mengakibatkan penghantaran projek kerajaan dan swasta mengalami kelewatan sehingga menyebabkan pembina terpaksa membayar ganti rugi," kata kenyataan itu.


Sumber: Harian Metro

22 views

Comments


bottom of page