top of page

Nilai kerja pembinaan cecah RM132.2 bilion pada 2023


Nilai kerja pembinaan cecah RM132.2 bilion pada 2023
Sektor pembinaan terus menunjukkan trajektori positif - Gambar fail NSTP

Nilai kerja pembinaan cecah RM132.2 bilion pada 2023

PUTRAJAYA: Prestasi kerja pembinaan mencapai nilai RM132.2 bilion pada 2023 dengan momentum pertumbuhan positif yang berterusan sebanyak 8.4 peratus selepas pulih pada 2022 dengan pertumbuhan sebanyak 8.8 peratus, demikian menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).


Nilai kerja pembinaan mencecah RM34.1 bilion pada suku keempat 2023, meningkat 6.8 peratus berbanding setahun yang lalu.


Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata sektor pembinaan terus menunjukkan trajektori positif mencapai nilai kerja berjumlah RM34.1 bilion pada suku keempat 2023 berbanding RM33.4 bilion pada suku ketiga.


"Peningkatan pada suku ini diperkukuh oleh pertumbuhan lebih pesat dalam subsektor kejuruteraan awam yang melonjak sebanyak 18 peratus, manakala subsektor bangunan kediaman dan aktiviti pertukangan khas berkembang pada kadar lebih perlahan masing-masing pada 2.3 peratus dan 0.3 peratus. Sebaliknya, subsektor bangunan bukan kediaman mengalami penurunan 1.9 peratus.


"Untuk setahun penuh, semua subsektor mengalami peningkatan dengan aktiviti kejuruteraan awam mencatatkan peningkatan dua angka yang ketara sebanyak 15.7 peratus, diikuti oleh aktiviti pertukangan khas (8.5 peratus).


"Pada masa yang sama, subsektor bangunan kediaman dan bangunan bukan kediaman masing-masing mencatatkan peningkatan sebanyak 3.7 dan 3.1 peratus," katanya dalam laporan Statistik Pembinaan Suku Tahunan Malaysia Suku Keempat 2023 yang diterbitkan hari ini.


Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, daripada nilai kerja berjumlah RM34.1 bilion pada suku keempat 2023, sebanyak 41.9 peratus atau bersamaan dengan RM14.3 bilion dicatatkan dalam kejuruteraan awam, terutamanya bagi aktiviti pembinaan jalan raya dan landasan kereta api (RM7.5 bilion) dan pembinaan projek utiliti (RM5.2 bilion).


"Nilai kerja untuk bangunan bukan kediaman dan bangunan kediaman masing-masing


berjumlah RM9.5 bilion (27.7 peratus) dan RM7.1 bilion (20.9 peratus)," katanya.


Sementara itu, beliau berkata aktiviti pertukangan khas menyumbang sebanyak RM3.3 bilion (9.6 peratus), terutamanya dalam aktiviti pemasangan elektrik (RM1.1 bilion), pemasangan paip, pemanasan, dan penghawa dingin (RM700 juta) serta penyediaan tapak (RM700 juta).


Mengulas prestasi sektor pembinaan mengikut pemilik projek, Mohd Uzir berkata, sektor swasta terus menjadi penyumbang utama dengan nilai kerja sebanyak RM20.3 bilion atau merangkumi 59.5 peratus daripada nilai keseluruhan pada suku dikaji.


"Bagaimanapun, pertumbuhan menyederhana kepada 1.4 peratus berbanding 8.6 peratus yang dicatatkan pada suku sebelumnya.


"Sebaliknya, sektor awam, dengan sumbangan sebanyak 40.5 peratus atau bersamaan dengan RM13.8 bilion, mengekalkan pertumbuhan dua angka yang kukuh sebanyak 15.9 peratus selepas mencatatkan 10.9 peratus pada suku ketiga 2023 disokong oleh pertumbuhan ketara 26.6 peratus dalam aktiviti kejuruteraan awam," katanya.


Beliau berkata, hampir 60.3 peratus daripada nilai kerja pada suku keempat 2023 tertumpu di Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Sarawak dan Johor.


"Nilai kerja pembinaan di Selangor berjumlah RM8.6 bilion atau 25.1 peratus, dengan sumbangan terbesar daripada kejuruteraan awam (RM3.5 bilion), diikuti oleh bangunan kediaman dan bangunan bukan kediaman dengan kedua-duanya bernilai RM2.1 bilion.


"Sementara itu, Wilayah Persekutuan menduduki tempat kedua dengan sejumlah RM4 bilion atau 11.8 peratus, terutamanya dalam aktiviti bangunan bukan kediaman (RM1.5 bilion) dan bangunan kediaman (RM1.4 bilion).


"Selain itu, Sarawak dan Johor kedua-duanya mencatatkan nilai kerja sebanyak RM4 bilion," katanya.




Nilai kerja pembinaan cecah RM132.2 bilion pada 2023

Comments


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2025 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page