top of page

Bajet 2023: Industri pembinaan harap kerajaan umum insentif khas penggunaan teknologi


Bajet 2023: Industri pembinaan harap kerajaan umum insentif khas penggunaan teknologi Astro Awani www.astroawani.com
Antara insentif yang diharapkan adalah membabitkan cukai bagi kesediaan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0). - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Keperluan sektor pembinaan untuk bergerak seiring dengan perkembangan teknologi selain memelihara alam sekitar, amat penting dalam memastikan kalangan penggiat terbabit berupaya mengekalkan daya saing di pasaran domestik dan antarabangsa.


Justeru, mereka berharap agar Bajet 2023 yang dijadual dibentangkan pada 7 Oktober ini akan turut menyaksikan kerajaan memperkenalkan beberapa insentif khas berkaitan penggunaan teknologi terkini selain amalan pembinaan hijau serta mampan.


Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) berkata antara insentif yang diharapkan adalah membabitkan cukai bagi kesediaan Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).Bercakap kepada Bernama, beliau berkongsi harapan CIBD supaya belanjawan tahun depan itu akan menyenaraikan insentif cukai melalui potongan berganda kepada pelaburan naik taraf infrastruktur perniagaan untuk membolehkan pengaturan kerja secara 'hibrid' serta pengecualian cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bagi pembelian perisian yang berkaitan dengan seni bina.


Tidak ketinggalan, subsidi serta insentif membabitkan peralatan jentera pembinaan.


"Ini bagi menggalakkan pemain industri menggunakan teknologi moden dalam usaha pembinaan. Penggunaan jentera juga dapat mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing yang tidak mahir," katanya.


Kerajaan juga diharapakn dapat menyediakan insentif dari segi latihan golongan profesional dalam penggunaan dan pembangunan teknologi terkini.


Menyentuh pembinaan mampan atau hijau, beliau berkata potongan cukai berganda wajar diberikan ke atas tambahan kos hijau dalam pembinaan bangunan yang diperakui sebagai bangunan hijau serta kos untuk mendapatkan perundingan berkaitan bangunan hijau.


Beliau juga berharap Bajet 2023 itu turut membabitkan pemberian elaun cukai pendapatan bagi kos pensijilan semula serta pengurangan cukai berganda bagi tempoh 10 tahun oleh penyewa pajakan hijau dan pengecualian cukai 10 tahun bagi sewaan pajakan hijau yang diterima oleh pemilik tanah.


"Kerajaan juga diharapkan dapat memperluas senarai aset yang layak untuk Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) di bawah myHIJAU selain memberi pengecualian duti setem kepada pembeli, pemilik dan pemaju bangunan hijau," katanya.


Aspek lain adalah untuk kerajaan menyediakan geran/ skim subsidi bagi bangunan sedia ada yang dijadikan bangunan hijau serta mengurangkan caj pembangunan dan memberi nisbah plot lebih tinggi bagi pemegang sijil bangunan hijau bertaraf emas dan platinum.


"Kerajaan juga diharap dapat melaksanakan pemotongan cukai berganda kepada pemaju yang telah menyediakan kuarters buruh berpusat (CLQ) untuk pekerja yang menelan kos tinggi bagi memenuhi Akta 446," katanya.


Sumber: Astro Awani


10 views
bottom of page