top of page

Cabaran penggunaan aplikasi digital dalam industri pembinaan


Cabaran penggunaan aplikasi digital dalam industri pembinaan Utusan Malaysia www.utusan.com.my
PENGGUNAAN aplikasi BIM di negara ini masih disasarkan secara meluas bukan sahaja di fasa perancangan dan reka bentuk, tetapi juga dalam fasa pelaksanaan, fasa yang mana pembinaan sedang berjalan, fasa pengurusan kontrak dan juga fasa penyelengaraan. – GAMBAR HIASAN

SUMBANGAN industri pembinaan terhadap pembangunan ekonomi negara sering menjadi bahan perdebatan secara meluas, tidak kira di Malaysia mahu pun di luar negara. Industri pembinaan juga merupakan suatu perusahaan kompleks yang terdiri daripada pelbagai pihak berkepentingan dalam melaksanakan sesebuah projek pembinaan. Ia turut melibatkan beberapa fasa yang berbeza tahap kesukarannya.


Oleh yang demikian, penglibatan pemain industri dalam projek memerlukan sesuatu pengetahuan itu ditafsir dan dihantar secara berkesan dalam usaha mencapai matlamat projek secara kerjasama dan kolaboratif tercapai. Untuk memastikan pertumbuhan yang stabil dan mampan, sesebuah negara perlu memberi perhatian yang kritikal terhadap peningkatan kualiti secara keseluruhan proses pembinaan.


Antara salah faktor penyumbang kejayaan projek ialah komunikasi. Komunikasi yang berkesan semasa kitaran hayat projek adalah amat signifikan dalam memastikan kejayaan projek pembangunan infrastruktur di negara ini. Namun, masih terdapat kritikan-kritikan dalam pelaksanaan projek pembinaan, di mana kebanyakan isu dilihat telah menyumbang kepada kerjasama yang lemah dan komunikasi yang tidak berkesan dalam kalangan peserta projek.


Dengan mengambil kira keadaan ini, pihak berkepentingan digalakkan untuk mengenal pasti instrumen yang terbaik agar ia mampu menangani masalah keberkesanan komunikasi secara kolaboratif dalam projek pembinaan.


Di Malaysia, Jabatan Kerja Raya (JKR) membentangkan cadangan untuk memperkasakan pembangunan digital melalui aplikasi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) sejak lima tahun yang lalu. Terdapat beberapa contoh projek yang telah berjaya dengan menggunakan aplikasi BIM, antaranya Institut Kanser Negara Malaysia di Sepang, Pusat Penjagaan Kesihatan Pahang Jenis 5, dan Kompleks Pentadbiran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Shah Alam.


Kesemua ini adalah antara projek tearawal di Malaysia yang menggunakan aplikasi BIM. Dalam projek tersebut BIM digunakan semasa fasa reka bentuk seperti simulasi lokasi, visualisasi, penilaian reka bentuk, penilaian konflik, perancangan dan simulasi 4D dan dokumentasi pemodelan.


Walaupun kebanyakan organisasi pembinaan di Malaysia sedang berusaha ke arah peningkatan penggunaan applikasi BIM dalam projek pembinaan mereka, namun disebabkan kurangnya bimbingan yang tepat, sokongan kerajaan yang agak terhad dan kurangnya kakitangan terlatih, hal ini telah menyebabkan kadar penggunaan BIM masih lagi di tahap rendah.


Berdasarkan laporan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pada 2019, tahap penggunaan BIM semasa di Malaysia telah mencecah sebanyak 49 peratus dan masih dianggap rendah jika dibandingkan dengan United Kingdom (UK) yang telah mencapai sebanyak 69 peratus. Hal ini menunjukkan bahawa Malaysia masih mempunyai halangan besar untuk mengguna pakai BIM dalam projek pembinaan jika dibandingkan dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, UK dan Singapura yang berjaya melepasi jurang dalam tempoh lima tahun selepas pengenalan BIM ke dalam industri pembinaan mereka.


CIDB juga mengambil langkah yang serius dengan mengeluarkan arahan kewajipan menggunakan BIM dalam projek-projek pembinaan yang dijalankan secara berperingkat. Malah, JKR melalui Pelan Strategik 2021-2025 juga turut menyasarkan sebanyak 80 peratus penggunaan BIM menjelang 2025 akan datang.


Sungguhpun begitu, aplikasi BIM di negara ini masih disasarkan secara meluas bukan sahaja di fasa perancangan dan reka bentuk, tetapi juga dalam fasa pelaksanaan, fasa yang mana pembinaan sedang berjalan, fasa pengurusan kontrak dan juga fasa penyelengaraan. Ini jelas menunjukkan bahawa usaha kerajaan dalam menggalakkan pemain industri melaksanakan BIM dalam projek pembinaan sangat baik dan konsisten.


Bukan itu sahaja, pembangunan komunikasi secara kolaboratif merupakan salah satu faktor utama dalam kejayaan projek pembinaan, yang mana ia perlu diamalkan secara efektif oleh semua pihak terlibat. Ia juga perlu diberi perhatian secara serius, yang mana pemain industri kini berdepan dengan situasi yang dipanggil sebagai VUCA (Volatality, Uncertatinty, Complex, Ambiguity). Sebagai contoh, isu berkaitan kenaikan harga bahan binaan yang tidak menentu, kadar upah buruh yang semakin tinggi, keadaan peluang di luar jangka dan ramalan persaingan yang tidak jelas.


Keadaan menjadi semakin mencabar apabila kebanyakkan pelaksanaan projek pembinaan masih lagi selesa mengamalkan kaedah tradisional sama ada dalam proses perolehan dan juga proses pembinaan projek. Justeru, ia sering menimbulkan masalah seperti salah tanggapan, timbul rasa kurang percaya, dan kurang minat untuk berkongsi maklumat dalam kalangan pemegang taruh, pemain industri dan klien.


Keberkesanan pembangunan komunikasi secara kolaboratif bergantung kepada beberapa Faktor antaranya tahap maklumat identiti pihak terlibat, galakan budaya kerja secara bersepakat, proses maklum balas dan penyelarasan dalam kalangan peserta projek yang sistematik. Selain itu, pemakluman berkaitan pembangunan di setiap fasa secara progresif dan penglibatan kepelbagaian profesional yang berbeza pengalaman dan latar belakang dalam projek juga memainkan peranan penting untuk meningkatkan komunikasi secara kolaboratif dengan lebih komprehensif.


Oleh itu, demi memantapkan lagi aplikasi BIM dalam projek pembinaan, penyelarasan maklumat sangat penting bagi mengelakkan masalah ketidakcekapan dalam proses pembinaan terus berlaku. Penyelarasan yang tidak mencukupi dan isu kehilangan kerahsiaan dalam kalangan peserta projek disebabkan oleh kerjasama dan komunikasi yang lemah dianggap sebagai penyumbang utama kepada kegagalan usaha pembangunan komunikasi secara kolaboratif dan lestari.


Apa yang penting, semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung perlu bersama mengorak langkah dalam mewujudkan dan memupuk semangat komunikasi secara kolaboratif ini. Yang lemah perlu dibantu, yang tidak jelas perlu ditambah baik.


Usaha kerajaan untuk mengelakkan pertikaian melalui aplikasi BIM ini wajar diberi pujian. Ia bukan saja dapat menghapuskan permusuhan dalam projek, malah ia penting dalam peningkatan komunikasi kolaboratif di kalangan peserta projek supaya pengetahuan dan pemahaman dapat disepadukan antara pihak yang bekerjasama dalam berdepan dengan ekonomi dunia yang semakin sukar untuk diramalkan.


*Penulis adalah Ketua Koordinator Jaringan Global, Unit Building Infomation Modelling (BIM) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom dan Penolong Juruukur Bahan, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sabah, Yvonne Valerie Leonard Doudilim.


Sumber: Utusan


16 views

Comments


bottom of page