top of page

Mampukah rakyat tempatan isi kekosongan sejuta pekerja asing?


Bernama

KEPUTUSAN kerajaan untuk mengehadkan pekerja asing kepada tiga sektor iaitu pembinaan, pertanian dan perladangan akan menjejaskan operasi industri di sektor lain yang berusaha keras untuk pulih daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, sektor lain mengambil pekerja asing akan menghadapi kekurangan tenaga kerja yang kritikal dan menjejaskan operasi.


"Kerajaan tidak membincangkan perkara yang membabitkan perubahan dasar dengan pihak berkepentingan terlebih dahulu sebelum mengumumkannya di Dewan Rakyat," katanya tadi.

Kelmarin, Timbalan Menteri Sumber Manusia Awang Hashim mengumumkan di Dewan Rakyat bahawa kerajaan memutuskan untuk membenarkan pekerja asing bekerja di sektor pembinaan, pertanian dan perladangan manakala pekerjaan di sektor lain harus diisi oleh pekerja tempatan.

Bagaimanapun, MEF berkata kurang daripada 42 peratus (837,800) bekerja di sektor pembinaan, pertanian dan perladangan daripada dua juta pekerja asing yang berdaftar dengan selebihnya bekerja dalam sektor pembuatan (sekitar 700,000), perkhidmatan (sekitar 309,000) dan pekerja domestik (kira-kira130,000).


Shamsuddin berkata, persoalan utama yang harus dijawab oleh kerajaan adalah adakah rakyat tempatan yang menganggur bersedia mengambil pekerjaan itu selepas pekerja asing daripada sektor ekonomi lain dihantar pulang.


"Semua orang tahu bahawa pekerja asing hanya dibenarkan untuk diambil bekerja selepas majikan membuktikan bahawa tidak ada pekerja tempatan yang tersedia untuk mengisi kekosongan itu," katanya.


Beliau berkata penghapusan pekerja asing mungkin dilakukan jika dilakukan secara berperingkat dan sekiranya rakyat tempatan bersedia untuk mengisi kekosongan pekerjaan yang diisi pekerja asing sebelum ini.


"Tetapi ia adalah sesuatu yang mustahil untuk mengharapkan rakyat tempatan mengisi jawatan kosong yang diisi pekerja asing sebelum ini pada kadar yang pantas," katanya.


Sumber: Harian Metro


Comentários


bottom of page