SHAH ALAM: Majuperak Holdings Bhd (MHB) meneroka pasaran hartanah pertamanya di luar Perak dengan pembangunan projek Nexus Residences di USJ Subang West, Selangor membabitkan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM122 juta.
Pembangunan kediaman berkepadatan rendah di atas tanah berkeluasan 0.89 hektar itu menawarkan 153 unit yang dibina lengkap dengan ciri eksklusif dengan akses lif persendirian ke kediaman banglo yang terletak 'di atas langit'.
Projek yang dirancang rapi untuk didiami oleh penghuni berbilang generasi itu akan dilengkapi dengan konsep dwi-kunci, sesuai bagi penghunian fleksibel dan juga untuk pelaburan sambil menjamin tahap keselamatan tertinggi.
Pengerusi Eksekutif MHB dan Ketua Eksekutif Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), Datuk Redza Rafiq Abdul Razak, berkata langkah syarikat untuk mengembangkan sayap ke Lembah Klang dilihat tepat pada masanya memandangkan strategi jangka panjangnya dalam mempelbagaikan saluran pendapatan syarikat.
"Pada April 2022, MHB telah memperoleh 51 peratus kepentingan ekuiti dalam Nexusbase Development Sdn Bhd (NDSB) untuk terus mengukuhkan perniagaan hartanahnya dan membuka laluan bagi melancarkan lebih banyak hartanah dalam jangka pendek dan pertengahan," katanya menyempurnakan majlis pecah tanah Nexus Residences di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Pegawai Eksekutif MHB dan Pengerusi NDSB, Nizran Noordin; serta Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif NDSB, Datuk Lee Seng Khoon.
Sementara itu, Nizran berkata, NDSB berhasrat untuk menawarkan hartanah kediaman bermutu tinggi yang memenuhi keperluan pengguna yang sesuai dengan gaya hidup masa kini.
"Dengan kemudahan yang menarik serta lokasi yang mudah ditujui, Nexus Residences mempunyai potensi kukuh untuk menarik perhatian pemilik hartanah sambil membolehkan MHB untuk meluaskan segmen pasaran kami.
"Ini adalah sebahagian daripada komitmen kukuh kami untuk membangunkan pilihan hartanah yang menarik, sejajar dengan usaha negara ini menggalakkan rakyat Malaysia memiliki rumah sendiri," katanya.
Nexus Residences menawarkan unit kediaman berkeluasan antara 1,309 sehingga 5,511 kaki persegi dengan harga bermula daripada RM803,400.
Projek berkenaan dijangka siap menjelang 2026.
Sumber: Utusan
コメント