top of page

Luahan Pembaca: Mohon menteri tinjau keadaan jalan raya


Luahan Pembaca: Mohon menteri tinjau keadaan jalan raya  Kosmo www.kosmo.com.my
JALAN raya berlopak ancaman maut kepada pengguna khususnya penunggang motosikal. – Gambar hiasan

SAUDARA PENGARANG,

DENGAN pelantikan barisan menteri dan timbalan menteri baru-baru ini, maka lengkap sudah barisan Kabinet Kerajaan Perpaduan.


Di sini saya ingin mengesyorkan kepada Menteri Kerja Raya agar melakukan penyamaran dengan memandu sendiri kenderaan di atas jalan-jalan raya negeri, persekutuan dan lebuh raya dari semasa ke semasa tanpa diiringi sesiapa pun. Jangan pandu kereta mewah atau trak pikap.


Sebaliknya pandulah kereta biasa dan motosikal kapcai untuk merasai ‘kenikmatan’ dan ‘keselesaan’ ‘jalan raya di Malaysia.


Agak sukar untuk kita menemui laluan sepanjang satu kilometer yang betul-betul sempurna pembinaannya dari segi kesamarataannya, kecerunannya dan selekohnya. Apa yang kerap kita jumpa adalah berbonggol dan berlopak.


Pembinaan jalan raya kebiasaannya berpandukan kaedah dipelopori John Loudon McAdam, lebih dikenali sebagai jalan raya Macadam.


Bagaimanapun, terdapat pembinaan jalan raya yang tidak mengikut konsep itu tetapi lebih kepada jalan Mak Andam, lebih mementingkan kosmetik, aksesori dan hiasan.


Intipan bukan hanya dilakukan waktu siang sebaliknya malam bagi melihat lampu jalan berkelip-kelip, malah ada yang malap dan tidak menyala langsung.


Apabila berlaku kemalangan jalan raya, kesalahan akan ditujukan terus kepada pemandu. Mereka dikehendaki menjalani ujian alkohol dan dadah. Jarang pihak berkuasa mempertimbangkan faktor jalan sebagai penyebab kemalangan.


Saya pernah terlanggar satu objek tajam di tengah-tengah jalan raya menyebabkan tayar hadapan kereta pecah dan nasib baik saya tidak dilanggar kenderaan dari belakang.


Berikutan situasi itu, adakah saya akan dipersalahkan kerana dianggap memandu secara cuai? Tugas siapakah membuang objek berbahaya di atas jalan raya?


Satu perkara lagi yang perlu beri perhatian ialah fenomena korek dan kambus. Kami rakyat Malaysia membayar cukai jalan setiap tahun untuk menggunakan kenderaan di atas jalan raya yang selesa, berkualiti dan selamat.


Sekiranya jalan yang kami gunakan untuk berulang-alik ke tempat kerja tidak menepati penarafan, rosak, berlubang adakah kami masih perlu membayar cukai jalan atau pun nilai cukai jalan kami dapat dikurangkan?


Apa yang saya harapkan penambahbaikan pada perancangan dan pelaksanaan dan pengurangan birokrasi terutamanya pada perkara-perkara yang melibatkan jalan raya.


Marissa QT, Kuala Kumpur.


Sumber: Kosmo!


4 views

Comments


bottom of page