top of page

Loji air Langat 2 dijangka siap sepenuhnya akhir tahun depan


Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Projek Loji Rawatan Air (LRA) Langat 2 sudah mencapai kemajuan hampir 90 peratus dan dijangka mampu disiapkan sepenuhnya menjelang akhir tahun depan.


Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali, berkata setakat ini, sebanyak 20 daripada 23 pakej projek itu sudah siap, yang berupaya membekalkan 1,130 juta liter air sehari kepada penduduk Lembah Klang.


"Walaupun kita berdepan kekangan akibat pandemik COVID-19, PAAB komited projek ini akan siap mengikut jadual hasil kerja pengurusan dan kontraktor.


"LRA Langat 2 yang dibina dengan kos RM3.7 bilion, akan meningkatkan rizab bekalan air dan menampung keperluan serta permintaan tinggi bekalan air di Lembah Klang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyiapan Seksyen 1 Pakej 10 dan 12, LRA Langat 2 di sini, hari ini.


Yang turut hadir, Pengarah Projek LRA Langat 2, Kamaruddin Abdul Razak dan Pengarah Urusan i-Infra Sdn Bhd, Datuk Dr Tengku Hishammuddin Zaizi Tengku Azman Shah.


Mohd Khairuddin memaklumkan, Pakej 10 yang berjaya disiapkan kontraktor dilantik, i-Infra Sdn Bhd, membabitkan pembekalan dan pemasangan paip air terawat utama dari kolam air imbangan Bukit Enggang ke Lebuhraya Sungai Besi, manakala Pakej 12 adalah membina dan menyiapkan kolam air Sungai Besi berkapasiti 22 juta liter.


Katanya, tujuan utama Pakej 10 adalah menyalurkan air bersih di kawasan Bukit Mahkota, Cheras sehingga Alam Damai, membabitkan kuantiti bekalan air sebanyak 51 juta liter dan memberi manfaat kepada 500,000 hingga 700,000 pengguna.


"Pakej 12 pula adalah pembinaan kolam takungan air kedua bagi penyambungan penyaliran air selepas kolam air imbangan Bukit Enggang di Mahkota Cheras. Kolam ini dapat menampung 22 juta liter air bersih bagi keperluan penduduk setempat.


"Kerja di bawah pakej ini termasuk pembersihan tapak, kerja tanah, pembinaan kolam air, pemasangan paip air, infrastruktur, mekanikal dan elektrik.


"Semua ini sudah disiapkan pada 13 Mac 2020 dan sedang dalam proses diserahkan kepada pihak Pengurusan Air Selangor Berhad (Air Selangor) untuk beroperasi," katanya.


Pembinaan LRA Langat 2 dimulakan pada Mac 2014, membabitkan Hulu Langat, Cheras, Sungai Besi, Bukit Jalil, Petaling, Bandar Kinrara, Bukit Dengkil, Ampang dan Keramat AU3.


Sumber: Berita Harian

11 views

Comments


bottom of page