top of page

Leform dapat kontrak bekal rel adang lebuh raya di Kemboja


Leform dapat kontrak bekal rel adang lebuh raya di Kemboja
Leform Bhd

Leform dapat kontrak bekal rel adang lebuh raya di Kemboja

KUALA LUMPUR: Leform Bhd memperoleh kontrak daripada Nim Meng Group Co Ltd untuk membekalkan rel adang lebuh raya bagi jalan di Kemboja bernilai AS$1.95 juta.


Pembuat dan peniaga produk keluli itu berkata, anak syarikat 85 peratus miliknya, Leform Metal Sdn Bhd (LMSB), telah menerima dan menandatangani kontrak itu dengan Nim Meng Group.


"Kontrak itu dijangka dilaksanakan mulai Ogos 2024 dan selesai pada Disember 2024," menurutnya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia.


Kontrak itu dijangka menyumbang secara positif kepada perolehan, keuntungan dan aset bersih syarikat bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024.


Dalam kenyataan berasingan, Leform menjelaskan projek itu menyasar untuk meningkatkan kapasiti pengangkutan serta menambah baik kecekapan logistik bagi seksyen antara Thlea Puan dan Battambang dan Sri Sophorn-Poipet, yang menghubungkan ibu kota Phnom Penh ke sempadan Thailand.


Pengarah Urusan Leform, Law Kok Thye, berkata kontrak baharu itu mewakili langkah strategik ke hadapan dalam matlamat pihaknya untuk mengembangkan jejak perniagaan di peringkat rantau serta menguasai bahagian pasaran yang lebih besar dalam industri keluli.


"Kami yakin dapat menyerahkan produk yang memenuhi spesifikasi kualiti pelanggan.


"Oleh itu, kami berharap dapat meraih lebih banyak projek seumpama itu dalam tempoh terdekat dan jangka masa pertengahan dengan memanfaatkan kepakaran kami yang akan menyumbang untuk membina rekod prestasi yang lebih kukuh dalam industri ini," katanya.


Melangkah ke hadapan, syarikat itu berhati-hati namun optimis bahawa pelaksanaan projek tempatan berdasarkan Belanjawan 2024 berpotensi meningkatkan semula permintaan terhadap keluli, memberikan prospek yang cerah untuk pasaran.


Leform dapat kontrak bekal rel adang lebuh raya di Kemboja

bottom of page