top of page

Kemboja rancang kereta api laju ke sempadan Thailand


Projek kereta api laju Phnom Penh-Poipet
Projek kereta api laju Phnom Penh-Poipet akan dilengkapi tren dengan kelajuan 160 km sejam - Foto hiasan

Projek kereta api laju Phnom Penh-Poipet

PHNOM PENH: Kemboja merancang untuk menaik taraf landasan sedia ada di utara Phnom Penh-Poipet dengan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang dijangka menelan kos lebih AS$4 bilion, memetik kenyataan Kementerian Kerja Raya dan Pengangkutan pada Selasa.


Perbadanan Jalan dan Jambatan China (CRBC) membentangkan laporan awal kajian mengenai kebolehlaksanaan mengenai menaik taraf landasan kereta api Phnom Penh-Poipet kepada kementerian pada Isnin.


Poipet ialah bandar sibuk yang berkongsi sempadan dengan Thailand, lapor Xinhua.


"Laporan awal menunjukkan bahawa laluan rel sepanjang 382 kilometer (km) itu memerlukan modal pelaburan lebih AS$4 bilion termasuk lokomotif elektrik dan gerabak serta pembinaannya akan mengambil masa kira-kira empat tahun untuk disiapkan," menurut kenyataan itu.


Projek itu akan dilengkapi dengan landasan selebar 1.43 meter dan HSR dengan kelajuan 160 km sejam serta terdapat sejumlah 33 stesen dan lebih 300 jejantas.


Menteri Kerja Raya dan Pengangkutan, Sun Chanthol, berkata kerja-kerja pembinaan projek itu dijangka dimulakan dalam masa terdekat.


Projek itu dijangka bakal menyediakan perkhidmatan penumpang dan kargo antara Kemboja dan Thailand serta negara lain dalam ASEAN, menurut kenyataan itu.


Kemboja kini mempunyai dua laluan kereta api yang menghubungkan Phnom Penh dan bandar Poipet, sepanjang 382 km dan laluan menghubungkan Phnom Penh dan wilayah pelabuhan antarabangsa Preah Sihanouk sejauh 266 km.


Kedua-dua laluan itu dibina antara 1929 dan 1969 dan telah mengalami kerosakan semasa perang saudara selama beberapa dekad dan buat masa ini kereta api itu hanya boleh bergerak pada kelajuan 30 hingga 40 km sejam sahaja.


Sumber: Berita Harian


4 views

Comments


bottom of page