top of page

HSR: Malaysia bakal dipintas Kemboja?


Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura
GERABAK kereta api peluru dari China untuk Projek Kereta Cepat Jakarta-Bandung (KCJB) sedang dipandu uji di Indonesia. – IHSAN KCIC

SAUDARA PENGARANG,


TIADA sebarang pengumuman terkini mengenai status projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke republik itu pada akhir bulan lepas.


Ini berbeza ketika lawatan Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Singapura pada 2021 apabila beliau menyatakan mahu projek HSR menghubungkan antara dua negara itu dihidupkan semula.


Di peringkat serantau, Indonesia dijadualkan bakal memulakan operasi Projek Kereta Cepat Jakarta-Bandung (KCJB) pada pertengahan tahun ini sekali gus menjadi negara Asia Tenggara pertama mempunyai kemudahan pengangkutan canggih tersebut. Projek itu diuruskan oleh syarikat usaha sama Indonesia China iaitu PT Kereta Cepat Indonesia China (KCIC).


Di Thailand, projek HSR Bangkok-Nakhon Ratchasima sejauh 250 kilometer (km) sedang berjalan lancar. Fasa kedua projek itu pula bakal menghubungkan Nakhon Ratchasima dan Nong Khai yang terletak berdekatan sempadan Laos bagi membolehkan ia bersambung dengan China melalui landasan kereta api negara Laos.


Vietnam juga merancang untuk membina projek HSR sejauh 1,559 km menghubungkan dua kota utama negara berkenaan iaitu Ho Chi Minh dan Hanoi. Kemboja yang sedang giat membangunkan projek infrastruktur dilaporkan berhasrat mendapatkan bantuan China bagi membina projek HSR pertama mereka.


Dalam kalangan negara-negara Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) pula, Mesir dan Indonesia bakal menyertai Uzbekistan, Arab Saudi, Turkiye dan Maghribi yang memiliki sistem rel tercanggih ini. Agak terkilan kerana Malaysia yang sudah lama merancang untuk mempunyai sistem HSR, sudah jauh ketinggalan berbanding negara-negara lain.


Projek HSR Kuala Lumpur-Singapura telah diilhamkan hasil daripada sesi Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura pada 2010. Namun, segala usaha dibuat bagi menjayakan projek ini telah menjadi sia-sia malah negara kerugian kerana terpaksa membayar pampasan kepada Singapura.


Ini ekoran pergolakan politik dalam negara yang menyaksikan penangguhan projek oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan setelah itu projek terbabit terbatal ketika di bawah pentadbiran kerajaan Perikatan Nasional (PN).


Projek infrastruktur pengangkutan awam mampu memberi kesan pengganda kepada ekonomi dengan mewujudkan puluhan ribu peluang pekerjaan berkualiti tinggi buat rakyat tempatan semasa pembinaan dan setelah beroperasi sepenuhnya kelak.


Kontraktor pembinaan rel juga memerlukan projek seumpama ini demi kelangsungan perniagaan memandangkan Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Gemas-Johor Bahru bakal siap sepenuhnya pada tahun ini.


Keputusan kerajaan untuk menghidupkan semula projek ini dapat memberi daya penarik kepada pelabur asing untuk datang ke negara kita. Memetik kenyataan Anwar sebagai reaksi pembatalan HSR Kuala Lumpur-Singapura pada 2021, beliau menyebut bahawa sistem HSR yang efektif dapat menarik pelaburan asing serta membuka peluang ekonomi untuk Johor, Melaka dan Negeri Sembilan.


Kos projek HSR yang tinggi mungkin boleh dikurangkan dengan membina stesen dengan reka bentuk standard yang praktikal berbanding stesen ikonik yang terlalu mewah serta mengurangkan kelajuan tren dari 320 kilometer sejam (km/j) kepada 250 km/j.


Apa yang penting adalah memulihkan semula projek HSR supaya rakyat Malaysia menikmati pelbagai manfaat ekonomi daripadanya serta berpeluang menggunakan perkhidmatan tren serba moden tanpa perlu ke negara lain.


PENGGUNA PENGANGKUTAN AWAM,

Kuala Lumpur


Sumber: Utusan



20 views
bottom of page