Lebuhraya Pan Borneo harus hindari laluan gajah - NGO


SANDAKAN: Sebuah badan bukan kerajaan (NGO) menyarankan agar jajaran Lebuhraya Pan Borneo tidak menghalang laluan migrasi gajah kerana ia boleh mengundang risiko serta mengancam nyawa penduduk dan haiwan itu.


Forever Sabah dalam kenyataan pada Jumaat berkata, satu persidangan telah diadakan bulan lepas di Telupid, dihadiri penduduk kampung daerah Telupid, Tongod, Beluran dan Kinabatangan yang mengalu-alukan penambahbaikan infrastruktur jalan bagi pembinaan lebuh raya itu yang tidak melalui laluan gajah.


Dalam persidangan yang dikenali sebagai Persidangan Kampung itu, penduduk lebih suka lebuh raya itu melalui kawasan bandar yang boleh menggalakkan lagi aktiviti perniagaan.


"Ramai peserta menyuarakan kebimbangan apa yang akan berlaku kepada perniagaan mereka sekiranya jalan tidak lagi memasuki kawasan bandar yang boleh menyebabkan kemerosotan kedatangan pelanggan.


"Terdapat juga kebimbangan laluan lebuh raya itu akan memusnahkan sesetengah kampung jika terpilih sebagai laluan," menurut kenyataan itu.


Masyarakat meminta sesi bengkel diadakan secepat mungkin untuk membincangkan perkara itu dan bertukar pendapat secara langsung mengenai kesan positif dan negatif pembangunan Lebuhraya Pan Borneo terhadap populasi gajah, pekebun kecil kelapa sawit dan komponen sosioekonomi lain.


Forever Sabah akan menganjurkan sesi lain pada bulan ini dan akan turut mengundang pemegang taruh utama seperti syarikat kelapa sawit dan agensi yang terlibat dalam pembinaan lebuh raya itu.


Persidangan itu disertai lebih 250 peserta membabitkan wakil kerajaan termasuk Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Pejabat Daerah, NGO di bawah Humans Habitats Highways Coalition (3H) dan penduduk dari empat daerah yang menempatkan lebih 25 kampung.


Forever Sabah menganjurkan persidangan itu untuk mengemas kini peserta mengenai Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO) dan Rundingan Meja Bulat mengenai Minyak Sawit Lestari (RSPO).


Pekebun kecil kelapa sawit membabitkan 20 kampung dari empat daerah itu, dipilih sebagai kampung perintis bagi pensijilan itu untuk memenuhi piawaian baharu pengeluaran minyak sawit lestari untuk mendapatkan akses pasaran global.


Sumber: Astro Awani


#evolusibina #PanBorneo

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2020 EvolusiBina. All rights reserved.