![Lantikan pegawai teknikal percepat pelaksanaan projek infrastruktur](https://static.wixstatic.com/media/a0c008_e4a4fbbfc94344ed8ff46dd3eb50d25a~mv2.jpeg/v1/fill/w_950,h_640,al_c,q_85,enc_auto/a0c008_e4a4fbbfc94344ed8ff46dd3eb50d25a~mv2.jpeg)
KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutuan memperuntukkan sebanyak RM100.8 juta bagi melantik pegawai teknikal kontrak yang akan ditempatkan di pejabat-pejabat daerah di seluruh negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, pelantikan pegawai teknikal itu menunjukkan komitmen kerajaan Persekutuan dalam membantu mempercepatkan pelaksanaan projek-projek infrastruktur di peringkat daerah.
“Pelantikan ini sebagai komitmen Perdana Menteri dan kerajaan Persekutuan untuk memperkasa fungsi dan peranan pejabat-pejabat daerah di seluruh negara khususnya, unit teknikal.
“Kita mahu memastikan sistem penyampaian kerajaan sehingga ke peringkat pejabat daerah ditambah baik untuk memastikan projek yang telah dirancang khususnya, projek-projek di bawah RM500,000 dapat disiapkan mengikut jadual dan spesifikasi yang telah ditetapkan,” katanya semasa majlis amanat dan penyerahan surat pelantikan pegawai teknikal secara kontrak jurutera dan penolong jurutera, di sini hari ini.
Dalam majlis itu, beliau menyampaikan surat pelantikan kepada 55 orang pegawai teknikal yang dilantik secara kontrak bagi tempoh tiga tahun. Secara keseluruhan di Sabah, seramai 114 pegawai teknikal akan dilantik yang membabitkan peruntukan sejumlah RM10.9 juta.
Katanya, pelantikan pegawai teknikal itu membabitkan tiga perjawatan iaitu jurutera elektrik, penolong jurutera elektrik dan juru ukur bahan.
Menurut beliau, proses penempatan ke pejabat-pejabat daerah itu akan diselaraskan dengan Kementerian Pembangunan Luar Negeri Sabah dan Pejabat Pembangunan Negeri Sabah (ICU) Jabatan Perdana Menteri.
Pelantikan itu susulan daripada resolusi Konvensyen Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat di Merbok, Kedah pada Jun lalu.
Menerusi resolusi konvensyen tersebut, terdapat keperluan untuk membatu memperkukuhkan unit teknikak di pejabat-pejabat daerah untuk meningkatkan keberkesanan sistem penyampaian pelaksanaan projek-projek kecil Persekutuan di peringkat daerah.
Dalam perkembangan lain, Armizan berkata, kerajaan melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan pejabat-pejabat daerah telah bersedia dalam menghadapi bencana banjir akibat peralihan Monsun Timur Laut.
Katanya, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dijangka mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat pusat pada 17 Oktober ini.
Dalam mesyuarat itu, beliau (Ahmad Zahid) akan mengumumkan persiapan merentasi semua kementerian untuk berhadapan musim Monsun Timur Laut yang dijangka pada November.
Menurut beliau, aset-aset yang akan digerakkan juga akan diumumkan oleh Ahmad Zahid selepas mesyuarat tersebut kerana setiap agensi termasuk Angkatan Pertahanan Awam (APM) akan membentangkan persiapan dari segi aset dan tenaga kerja yang akan terlibat dalam menghadapi musim banjir.
Sumber: Utusan
Lantikan pegawai teknikal percepat pelaksanaan projek infrastruktur
Comments