top of page

Kedah tubuh jawatankuasa teknikal projek KXP


Muhammad Sanusi ketika ditemui media di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini. - Foto BERNAMA

ALOR SETAR: Kerajaan Kedah menubuhkan jawatankuasa teknikal bagi memastikan projek pembangunan Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP)dapat dilaksanakan dengan lebih cepat.


Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor, berkata penubuhan jawatankuasa dianggotai wakil kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Kementerian Pengangkutan (MOT) itu membuktikan komitmen kerajaan negeri untuk menjayakan projek berimpak tinggi buat rakyat.


"Jawatankuasa ini ditubuhkan hasil pertemuan pihak saya dengan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong di Putrajaya pada Jumaat baru-baru ini. Jawatankuasa ini akan membuat syor supaya kertas kerja berkaitan kelulusan pelaksanaan KXP diangkat sekali lagi ke MPFN (Mesyuarat Majlis Perancang Fizikal Negara).



"Sebelum ini, kertas kerja sudah diserahkan kepada MPFN, namun tidak dapat dibentangkan apabila MOT belum memuktamadkan kajian Pelan Strategik Lapangan Terbang Negara (NASP).


"MPFN akan memberi nasihat kepada kita sebelum MOT buat kertas kerja untuk dibentangkan kepada Kabinet. Selepas Kabinet luluskan, barulah projek ini akan bermula," katanya ketika ditemui di Wisma Darul Aman, di sini hari ini.


Beliau sebelum itu mewakili kerajaan negeri menerima sumbangan barangan makanan bernilai RM30,000 daripada Yayasan Petronas untuk 300 keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) yang terjejas berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran di empat mukim di Kedah.


Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri sangat berharap projek berkenaan mendapat pertimbangan sewajarnya daripada Kerajaan Persekutuan berikutan kajian terperinci sudah dilakukan sejak lima tahun lalu.


Pada pertemuan dengan MOT, beliau menjelaskan, kerajaan negeri membuat penjelasan terperinci perancangan yang telah dibuat KXP Airport City Holdings selain membentangkan kajian oleh 12 konsultan, termasuk kajian antarabangsa yang mengandungi170 muka surat berkaitan projek berkenaan.


"Saya nyatakan hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan projek ini yang teratas dalam senarai projek berimpak tinggi untuk melonjakkan pendapatan kerajaan negeri.


"Menteri Pengangkutan agak terkejut dengan persiapan yang kita buat sejak empat, lima tahun lalu. Kajian ini dapat membantu MOT melaksanakan NASP," katanya.


Pada Rabu lalu, NSTP melaporkan Kedah memohon pengecualian bagi meneruskan projek KXP selepas MOT mengumumkan pembinaan lapangan terbang baharu hanya akan dipertimbangkan selepas 2030.


Terdahulu Muhammad Sanusi menerima sumbangan berupa barangan keperluan makanan bernilai RM30,000 daripada Yayasan Petronas untuk 300 keluarga B40 yang terjejas dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (TEMCO) di empat mukim di Kedah.



7 views
bottom of page