Kontraktor LRT3 patuh prosedur kerja ditetapkan JAS


MRCB George Kent Sdn Bhd

PETALING JAYA - MRCB George Kent Sdn Bhd selaku kontraktor projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3) memaklumkan pihaknya mematuhi prosedur kerja yang ditetapkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) semasa perlaksanaan projek itu dilaksanakan.


Pengarah Projeknya, Patrick Hwang Chee Leong berkata, pihaknya juga memaklumkan yang mereka telah bekerjasama dengan penduduk Damansara Lagenda sejak November 2017 bagi mendengar isu dibangkitkan penduduk.


Menurutnya, ia termasuk keresahan penduduk berhubung masalah getaran (vibrate) semasa kerja pemasangan cerucuk dilakukan yang diatasi dengan memasang alat pemantauan getaran.


"Kami telah mematuhi had getaran yang ditetapkan JAS dengan melibatkan penduduk di kawasan itu.


"Pihak JAS juga memantau pematuhan tersebut dari masa ke masa dengan melakukan pemeriksaan di lokasi projek," katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Beliau berkata demikian susulan laporan Sinar Harian hari ini bertajuk 'Gegaran kuat projek LRT3 resahkan penduduk'.


Menurut laporan itu, gegaran yang kuat berikutan kerja-kerja menanam cerucuk di tapak pembinaan projek LRT 3 berhampiran Damansara Legenda menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk di sini.


Berikutan masalah itu, dianggarkan kira-kira 16 rumah penduduk di sini mengalami keretakan selain menghadapi beberapa permasalahan lain.


Mengulas lanjut, Patrick berkata, September lalu pihak kontraktor telah mengambil tindakan meminumkan getaran dengan mengambil beberapa langkah yang perlu.


"Ia termasuk memantau, mengukur kadar gegaran, pencegahan, pemantauan dan meluruskan kepingan cerucuk sebelum memasangnya ke tanah.


"Pada masa ini, kami menjalankan kerja-kerja sub-struktur dan mematuhi garis panduan JAS," katanya.


Beliau sekali lagi mengulangi komitmen pihaknya untuk terus memberikan kerjasama dengan penduduk dalam memastikan kemajuan projek LRT3 berada di landasan yang betul dan meminimumkan kesan aktiviti pembinaan terhadap penduduk.


Sumber: Sinar Harian

17 views0 comments

How can we help you?

Take a moment to tell us about your services, products or marketing interest — we’re here to help.

Copyright © 2021 EvolusiBina. All rights reserved.