
KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) mempertingkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) dengan menaik taraf operasi Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) yang terletak di Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya (JKR) di sini.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pada masa sama pihaknya turut menaik taraf aplikasi mudah alih Sistem Pengurusan Bencana (eBencana) JKR bagi memudahkan orang ramai mendapatkan maklumat terkini.
Katanya, BiGBen berfungsi sebagai pusat sehenti maklumat bencana membabitkan aset seliaan JKR di sepanjang Jalan Negeri dan Jalan Persekutuan.
"Maklumat komprehensif yang disediakan melalui BiGBen untuk dikongsi dengan orang awam berkaitan maklumat bencana seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak atau runtuh.
"Oleh itu, BiGBen akan berkongsi maklumat penutupan jalan serta informasi laluan alternatif bagi membolehkan pengguna jalan raya merancang perjalanan.
"Aplikasi eBencana pula adalah platform bersepadu yang mengintegrasikan data di Laman Pengurusan Bencana (bencana.jkr.gov.my) yang dapat diakses terus di telefon bimbit," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan BiGBen dan eBencana di Ibu Pejabat JKR, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Roslan Ismail.
Alexander berkata, BiGBen diterajui oleh Sekretariat Bilik Gerakan Bencana JKR terdiri daripada warga kerja JKR di ibu pejabat dengan kerjasama di peringkat negeri dan daerah yang berperanan mengemaskini maklumat bencana menerusi Laman Rasmi Pengurusan Bencana.
Katanya, pengoperasian BiGBen dikategorikan dalam tiga peringkat yang bergantung kepada situasi semasa bencana iaitu peringkat sistem amaran awal, peringkat pusat komunikasi bersepadu dan peringkat pusat tindakan cepat," katanya.
"Operasi BiGBen dan sistem eBencana JKR secara bersepadu itu bukan saja untuk kegunaan orang awam, malah boleh menjadi sumber rujukan kepada semua pihak berkepentingan.
"Diharap dengan adanya kemudahan ini, ia juga dapat membantu agensi yang terbabit mengambil tindakan penyelarasan dan pengurusan bencana negara lebih efisien," katanya.
Justeru, beliau menasihati kepada pengguna yang perlu menggunakan jalan raya ketika musim monsun ini, supaya merancang perjalanan yang lebih selamat dan selesa melalui semakan status laluan jalan raya.
Katanya, semakan boleh dibuat melalui semakan di Laman Pengurusan Bencana JKR (bencana.jkr.gov.my); aplikasi eBencana JKR; Facebook BIGBEN-Bilik Gerakan Bencana JKR dan akaun X Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (https://x.com/@CSFJ_JKR).
Sumber: Berita Harian
Comments