top of page

Jambatan Bailey penting sebagai persediaan Monsun Timur Laut


Jambatan Bailey penting sebagai persediaan Monsun Timur Laut
JAMBATAN Bailey di Kampung Setulang Daeng, Klebang, Melaka yang siap dipasang untuk kegunaan sementara penduduk sekitar.

Jambatan Bailey penting sebagai persediaan Monsun Timur Laut

MELAKA: Kerajaan negeri bercadang memohon peruntukan daripada kerajaan Persekutuan bagi pembelian satu lagi set jambatan Bailey sepanjang 42 meter.


Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, ia bagi memastikan kerajaan negeri dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Melaka sentiasa dalam keadaan bersiap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan bencana, khususnya pada musim Monsun Timur Laut dan kes jambatan runtuh.


Beliau berkata, ini kerana jambatan Bailey jenis Compact 200 sepanjang 30 meter yang dibeli pada 2018 telah dipasang untuk kegunaan sementara penduduk di Kampung Setulang Daeng di sini.


“Pada 22 September 2023, saya telah mengetuai delegasi kerajaan negeri bagi lawatan kerja pemindahan teknikal teknologi ke United Kingdom (UK) bersama JKR Melaka dan Perbadanan Ketua Menteri (CMI) di mana saya berpeluang melawat kilang Mabey Bridge, iaitu antara pembekal terbesar jambatan Bailey di dunia.


“Kerajaan negeri pada 2018 juga telah membeli satu set jambatan Bailey yang ditempatkan di JKR Melaka dan pada hari ini, ia siap dipasang untuk kegunaan sementara penduduk di Kampung Setulang Daeng.


“Sesungguhnya, inilah hasil dan kesan langsung dari lawatan pemindahan teknologi ke kilang pembekal jambatan Bailey di UK, apabila pemasangan jambatan sementara ini berjaya dilaksanakan oleh pasukan JKR sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan Majlis Perasmian Jambatan Bailey Kampung Setulang Daeng di sini, hari ini.


Jambatan itu dibina bagi menggantikan sementara jambatan lama yang menjadi nadi penduduk roboh pada 21 September lalu.


Tambah Ab. Rauf, jambatan Bailey itu mempunyai dua lorong dan mampu menanggung bebanan sehingga 30 tan.


Jelasnya, namun selepas mengambil kira ia akan bersambung kepada jambatan perhubungan desa sedia ada, maka had bebanan kenderaan yang melaluinya dihadkan setakat lima tan dan terhad kepada kenderaan ringan.


“Pada kebiasaannya, kerja pemasangan jambatan Bailey ini akan melibatkan sama anggota tentera, tetapi kali ini JKR Melaka telah membuat keputusan untuk melaksanakan tugasan ini menggunakan sepenuhnya kepakaran dan tenaga warga kerjanya sendiri,” katanya.


Sumber: Utusan


Jambatan Bailey penting sebagai persediaan Monsun Timur Laut

bottom of page