top of page

Kerja-kerja awal pemasangan jambatan Bailey dimulakan


Pemasangan jambatan Bailey di jalan utama ke Felda Selancar, Rompin
Kerja-kerja menurunkan komponen jambatan Bailey di laluan masuk ke Felda Selancar dilakukan pada Jumaat. - Foto Facebook JKR Daerah Rompin AAA

Pemasangan jambatan Bailey di jalan utama ke Felda Selancar, Rompin

KUANTAN - Pemasangan jambatan Bailey di jalan utama ke Felda Selancar, Rompin yang terputus akan dimulakan selepas kerja-kerja pengukuhan tebing dilaksanakan.


Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerja-kerja pemasangan jambatan sepanjang lebih 42 meter itu diketuai Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Pilah.


Menurutnya, kerja pengukuhan tebing penting untuk memastikan struktur jambatan Bailey yang dipasang kukuh dan selamat digunakan pengguna jalan.


"Saya faham keresahan dialami penduduk Felda Selancar yang menunggu jalan utama mereka dihubungkan semula dengan pembinaan jambatan Bailey sebagai laluan sementara sebelum kerja pembaikan jalan terputus akibat musibah banjir dilaksanakan," katanya melalui kenyataan di Facebooknya pada Sabtu.


Beliau berkata, semua pihak yang terlibat dalam kerja tambakan dan pemasangan jambatan itu agar sentiasa berhati-hati dan dan mengutamakan keselamatan.


Berdasarkan info di Facebook JKR, komponen jambatan Bailey telah dihantar ke lokasi.


Penghantaran pertama melibatkan komponen jambatan milik persekutuan sepanjang 30.4 meter dari JKR Kuala Pilah dan komponen tambahan 12.1 meter dari JKR Petaling.


Tentera Darat Malaysia (TDM) turut mengatur gerak anggota Rejimen Pertama Kor Armor Diraja (1 KAD) dan Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) bagi tinjauan serta membantu kerja-kerja pemasangan jambatan itu.


Ketua Setiausaha, Kementerian Kerja Raya, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman dijangka mengadakan lawatan ke lokasi itu pada Ahad.


Pembinaan jambatan Bailey atau jambatan mudah alih itu diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi ketika meninjau lokasi kejadian pada Rabu lalu.


Penduduk Felda Selancar dan kawasan sekitarnya terputus hubungan selepas jalan utama ke kawasan itu runtuh akibat limpahan air deras ekoran hujan lebat yang berterusan.


Sumber: Sinar Harian


6 views

Comments


bottom of page