top of page

3,000 jentera berat, tambahan jambatan bailey antara aset KKR hadapi bencana banjir


3,000 jentera berat, tambahan jambatan bailey antara aset KKR hadapi bencana banjir
Gambar hiasan: Jambatan Panel Keluli Bermodular (JPKB) atau bailey

3,000 jentera berat, tambahan jambatan bailey antara aset KKR hadapi bencana banjir

LIPIS: Kementerian Kerja Raya (KKR) bersedia dengan tambahan jumlah aset Jambatan Panel Keluli Bermodular (JPKB) atau bailey sebagai penghubung di kawasan terputus hubungan akibat banjir pada musim tengkujuh bermula bulan ini hingga awal tahun depan.


Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kemudahan aset tersebut antara usaha KKR serta agensinya, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memenuhi persiapan bagi memastikan jaringan perhubungan rakyat tidak terjejas, sekali gus keselamatan pengguna dapat dipertingkatkan selari dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN).


“Sehingga ini, JKR mempunyai jumlah simpanan jambatan bailey sepanjang 597.40 meter yang diletakkan di tujuh stor penyimpanan di Semenanjung, iaitu meliputi Zon Utara di Alor Setar (Kedah), Kinta (Perak), Petaling Jaya (Selangor), manakala Zon Tengah, di Kuala Pilah (Negeri Sembilan), Zon Selatan di Johor Bahru (Johor) dan Zon Timur di Temerloh (Pahang) dan Machang (Kelantan).


“Kementerian ini juga sudah bersedia dengan kira-kira 3,000 buah kenderaan berat bagi penugasan pengangkutan menyelamat dan kerja penyelenggaraan tempat kejadian bencana berasaskan bantuan aset dan logistik tertentu,” katanya kepada pemberita selepas Program Anak Muda Pahang Sayang Bumi, di Gua Bama, Padang Tengku di sini hari ini.


Menurut Abdul Rahman, jambatan bailey antara aset penting KKR sebagai kemudahan yang sesuai dan selamat yang boleh bertindak dengan cepat berdepan bencana.


Beliau berkata, antara aset jentera berat seperti kenderaan pacuan empat roda, jentera kaut, lori muatan tiga dan lima tan, jentera penyodok bersedia untuk digerakkan bagi tujuan pengangkutan petugas dan misi bantuan, pemantauan, pemulihan dan pembaikan infrastruktur, pembaikan cerun serta pemindahan mangsa.


“Bahagian Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR akan menyediakan kerja teknikal seperti memeriksa serta memastikan sistem saliran cerun dalam keadaan baik dan mengenal pasti tanda awal kegagalan cerun di sepanjang jajaran jalan persekutuan dan negeri khususnya cerun yang dikategorikan berisiko sangat tinggi yang kemungkinan berlaku runtuhan,” katanya.


Dalam pada itu, katanya, sebanyak 35 bilangan stesen tolok hujan diletakkan di cerun kritikal sepanjang Jalan Persekutuan, iaitu di Pahang, Kelantan, Kedah, Perak dan Selangor telah diselenggara serta berfungsi dalam keadaan baik.


“Had amaran semasa akan dipaparkan di laman web Sistem Amaran Awal Cerun JKR menerusi sistem pesanan ringkas akan diterima apabila kadar hujan melebihi nilai amaran awal tanah runtuh. Manakala, untuk Sabah dan Sarawak, sebanyak 12 stesen tolok hujan sedang dalam permohonan kelulusan peruntukan kementerian ini,” katanya.


Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Lipis berkata, kakitangan JKR akan melakukan penyelenggaraan rutin mengikut jadual dan kitaran yang ditetapkan seperti pembersihan laluan air, tumbuh-tumbuhan, puing dalam pembetung, pemeriksaan pengesahan aset jambatan dan pembetung yang mengalami kerosakan/kegagalan, penyediaan cadangan pembaikan alternatif dan segera.


“JKR juga akan mengaktifkan prosedur operasi standard (SOP) bagi kawasan laluan yang terjejas akibat bencana dengan melaksanakan penutupan jalan secepat mungkin untuk jaminan keselamatan pengguna jalan raya, memberi amaran bencana kepada orang ramai, menyediakan laluan alternatif, membina lencongan jalan dan melaksanakan kerja pembaikan atau pembinaan kekal (pasca bencana).


“Kita juga menyediakan portal bencana JKR di alamat: www.bencanaalam.jkr.gov.my dan melalui laman twitter di @JKRMalaysia, @CSFJ_JKR dan facebook Jabatan Kerja Raya Malaysia serta boleh menghubungi talian Hotline Bilik Gerakan Bencana (BiGBen) 03 26107559/7727 berkaitan semua bencana alam,” katanya.


Selanjutnya beliau berkata, KKR juga menubuhkan BiGBen berfungsi sebagai pusat sehenti bagi pengurusan maklumat kejadian seperti banjir, cerun runtuh, jalan runtuh, jalan mendap dan jambatan rosak serta runtuh, yang melibatkan jalan raya dibawah seliaan JKR, iaitu Jalan Persekutuan dan jalan negeri di seluruh negara.


Ujarnya, pengguna jalan raya juga boleh menyalurkan sebarang kerosakan jalan yang terjejas termasuk gambar menerusi aplikasi aduan MyJalan yang boleh didapati secara percuma dengan memuat turun daripada AppStore untuk sistem operasi iOS, Play Store untuk pengguna sistem operasi Android dan Huawei App Gallery untuk pengguna Huawei.


Sumber: Utusan


3,000 jentera berat, tambahan jambatan bailey antara aset KKR hadapi bencana banjir


bottom of page