top of page

RM11.8 bilion untuk projek tebatan banjir


RM11.8 bilion untuk projek tebatan banjir
Gambar hiasan

RM11.8 bilion untuk projek tebatan banjir

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan melaksanakan 33 Projek Tebatan Banjir Berkeutamaan Tinggi dengan kos RM11.8 bilion ringgit, tahun hadapan.


Ia termasuk Projek Tebatan Banjir Lembangan Sungai Pahang, Pahang; Sungai Langat Fasa 2, Selangor; Sungai Jelai, Kuala Pilah, Negeri Sembilan; Sungai Likas, Kota Kinabalu, Sabah; dan Kuching Fasa 2, Sarawak.


Selain itu, Projek Tebatan Banjir Baling Fasa 2, Kedah dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu, Sungai Kelantan Fasa 2, Kelantan.


Surat Setuju Terima (SST) bagi 24 projek dijangka dikeluarkan mulai Oktober ini membabitkan kos keseluruhan RM5.1 bilion dan bakinya akan dikeluarkan SST pada suku tahun pertama 2024.


Bagi mengurangkan risiko air bertakung dan banjir kilat, sejumlah RM20 juta disediakan kepada 150 pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk melaksanakan kerja-kerja pembaikan parit dan longkang yang rosak.


Sebelum ini, Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) meletakkan jumlah peruntukan yang besar bagi membiayai projek tebatan banjir iaitu mencecah RM22 bilion.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2024, berkata projek berimpak tinggi jangka panjang itu mustahak bagi menjamin kemaslahatan rakyat dan membendung lebih banyak kehilangan nyawa dan kerugian harta benda.


"Kendatipun begitu, pendirian kerajaan tetap tegas dalam soal perolehan, bahawa ia hendaklah dilaksanakan secara tender bagi mengelakkan pembaziran wang rakyat," katanya.


Sumber: Berita Harian


RM11.8 bilion untuk projek tebatan banjir


bottom of page