top of page

Kesan subsidi bersasar kepada industri pembinaan dijangka kecil, kos bahan api sekitar 1-2% - RHB Investment


Kesan subsidi bersasar kepada industri pembinaan dijangka kecil, kos bahan api sekitar 1-2% - RHB Investment
Menurut RHB Investment, kesan subsidi bersasar terhadap para kontraktor akan dirasai secara tidak langsung, iaitu dari segi pengangkutan bahan binaan ke tapak pembinaan. Gambar Dagang News

Kesan subsidi bersasar kepada industri pembinaan dijangka kecil, kos bahan api sekitar 1-2% - RHB Investment

KUALA LUMPUR 18 April - Pelaksanaan subsidi bersasar oleh kerajaan dijangka tidak memberi kesan secara langsung kepada syarikat pembinaan kerana bahan api dan elektrik hanya membentuk 1-2% daripada keseluruhan kos sektor tersebut.


Menurut RHB Investment Bank (RHB Investment), komponen kos 1-2% itu boleh dianggap kecil bagi sesebuah syarikat kontraktor.


"Secara amnya, kami berpendapat kesan terhadap para kontraktor akan dirasai secara tidak langsung, iaitu dari segi pengangkutan bahan binaan ke tapak pembinaan, yang melibatkan kenderaan yang menggunakan bahan api pada kadar bersubsidi semasa," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.


Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli semalam mengesahkan kerajaan tetap akan melaksanakan subsidi bersasar pada tahun ini bagi mengurangkan defisit fiskal negara.


Kata Rafizi, pemotongan subsidi itu bagaimanapun akan dilakukan secara berperingkat.


"Kami ingin menekankan bahawa buku pesanan bagi sektor pembinaan bakal ditingkatkan lagi apabila pihak Kerajaan berhasrat untuk melaksanakan usaha suntikan ekonomi seperti projek lebuh raya di Borneo dan Transit Aliran Ringan Pulau Pinang (LRT). 


"Faktor-faktor seperti bekalan buruh yang mencukupi, di samping kos bahan binaan yang terkawal, dapat terus memudahkan dan melancarkan pelaksanaan kerja yang diterima kontraktor," ujarnya.


Kata RHB Investment, data Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) menunjukkan nilai bagi projek-projek pembinaan yang ditawarkan pada 1Q24 mencecah MYR30.8bn (1Q23: MYR31.3bn). 


Ujarnya, nilai ini belum lagi melibatkan kontrak untuk tiga segmen di bawah projek LRT Laluan Mutiara Pulau Pinang, yang mungkin bernilai lebih RM10.5 bilion.


"Di Malaysia Timur, empat daripada 20 pakej kerja di bawah Fasa 1B Lebuh Raya Pan Borneo Sabah (RM15.7 bilion) telah ditawarkan setakat 22 Mac, dan 16 pakej lagi sedang menjalani proses pemerolehan sebelum dimuktamadkan pada April. 


"Perkara ini bermakna projek ini sedang berkembang dengan baiknya," katanya.


RHB Investment juga mengekalkan saranan 'Wajaran Tinggi" ke atas sektor pembinaan dengan syarikat pilihan utamaialah Gamuda, Kerjaya Prospek, dan Sunway Construction, kerana memaparkan potensi baik untuk menjana perolehan sepanjang dua tahun seterusnya. 


"Gamuda mempunyai jejak kehadiran yang besar di luar negara sambil masih lagi aktif dalam pasaran tempatan. 


"Kerjaya Prospek dan SunCon mempunyai perancangan projek yang mantap daripada urus niaga pihak berkaitan dengan syarikat induk mereka, selain turut terlibat dalam kerja-kerja perindustrian," jelasnya.


Sumber: Dagang News


Kesan subsidi bersasar kepada industri pembinaan dijangka kecil, kos bahan api sekitar 1-2% - RHB Investment

bottom of page