top of page

Kerajaan setuju beri kelonggaran kaedah perolehan projek


Kerajaan setuju beri kelonggaran kaedah perolehan projek
Gambar hiasan

Kerajaan setuju beri kelonggaran kaedah perolehan projek

PETALING JAYA: Kerajaan bersetuju memberi kelonggaran kaedah perolehan bagi semua projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil yang dilaksanakan semua kementerian dan agensi sehingga ke peringkat negeri dan daerah dengan had nilai sebut ditingkatkan kepada RM1 juta daripada RM500,000.


Selain itu, had perolehan secara cabut undi ditingkatkan kepada RM200,000 daripada RM100,000.


Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan memaklumkan, perkara itu merupakan antara diputuskan kerajaan untuk mempercepat pelaksanaan projek prasarana rakyat agar dilakukan dengan lancar dan berkesan selaras persetujuan kelonggaran perolehan kerja di bawah Arahan Perbendaharaan (AP) 182.


“Seperti mana telah diumumkan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pembentangan Belanjawan 2023, kerajaan menekankan usaha untuk mempercepatkan pelaksanaan projek prasarana rakyat terutamanya projek sekolah dan klinik daif.


“Selaras itu, keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri yang terkini telah memutuskan supaya projek-projek berskala kecil di seluruh negara dipercepatkan. Oleh demikian, bagi memastikan keputusan di atas dapat dilaksanakan dengan lancar dan berkesan, kerajaan bersetuju memberikan kelonggaran dalam urusan perolehan kerja di bawah Arahan Perbendaharaan 182,” kata kenyataan itu hari ini.


Pada minggu lalu, Perdana Menteri memaklumkan kerajaan membenarkan projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil dengan nilai RM1 juta dilaksanakan terus di peringkat negeri atau daerah, berkuat kuasa serta-merta.


Beliau berkata, kerajaan bersetuju memberi kelonggaran kaedah perolehan kerja itu untuk semua projek penyelenggaraan, termasuk pengecualian ke atas AP 182.


Selain itu, Kementerian Kewangan memaklumkan semua projek Kerajaan Persekutuan yang merangkumi penyelenggaraan dan pembaikan bernilai RM1 juta boleh dilaksanakan terus kementerian dan agensi berkenaan termasuk peringkat negeri atau daerah tanpa perlu melalui jabatan teknik termasuk Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Pengairan dan Saliran berkuat serta-merta.


Kata kementerian itu, perkara tersebut selaras pengecualian AP 182 kepada semua kementerian atau agensi pelaksana sehingga peringkat negeri dan daerah dengan had nilai sehingga RM1 juta bagi projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil.


Pada masa sama kerajaan memutuskan semua pengesahan kerja siap boleh dibuat oleh ketua jabatan atau pegawai yang diturunkan kuasa di peringkat agensi pelaksana negeri dan daerah dengan mematuhi kesempurnaan kerja mengikut tadbir urus baik.


“Mewujudkan satu pasukan pemantau projek sama ada di peringkat negeri atau daerah dengan penglibatan beberapa agensi atau pegawai dari pelbagai jabatan bagi membantu memantau pelaksanaan projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil memenuhi objektif yang ditetapkan.


“Kelonggaran ini berkuat kuasa serta merta sehingga 31 Disember 2023. Ini bagi memastikan kerja-kerja ini siap dalam tahun semasa,” kata kementerian itu.


Berkenaan kemudahan pembiayaan kepada kontraktor, Kementerian Kewangan menjelaskan kerajaan juga memperkenalkan kemudahan pembiayaan secara ‘financial close’ bagi memastikan kontraktor tiada masalah aliran tunai dan kerja disiapkan mengikut jadual di samping meningkatkan penglibatan kontraktor kecil dari pelbagai kelas untuk sama-sama terlibat dalam melaksanakan projek berskala kecil


“Butiran lanjut berkaitan program ini akan dimaklumkan dalam masa terdekat,” kata kenyataan itu.


Pertanyaan lanjut berkenaan AP182 boleh dipanjangkan kepada dasar.bpk@mof.gov.my atau hubungi talian 03-8882 3232/4476/3225.


Sumber: Utusan


Kerajaan setuju beri kelonggaran kaedah perolehan projek

bottom of page