top of page

Kerajaan beri kelonggaran semua projek penyelenggaraan bawah RM1 juta kepada negeri, daerah - PM


Kerajaan beri kelonggaran semua projek penyelenggaraan bawah RM1 juta kepada negeri, daerah - PM
Gambar hiasan

Kerajaan beri kelonggaran semua projek penyelenggaraan bawah RM1 juta kepada negeri, daerah - PM

SUNGAI PETANI: Kerajaan bersetuju untuk memberi kelonggaran bagi kaedah perolehan kerja bagi semua projek penyelenggaraan termasuk pengecualian ke atas Arahan Perbendaharaan (AP) 182 kepada semua kementerian dan agensi pelaksana sehingga peringkat negeri dan daerah.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kelonggaran membabitkan projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil dengan had nilai sehingga RM1 juta sahaja.


Beliau berkata, semua projek Kerajaan Persekutuan merangkumi penyelenggaraan dan pembaikan yang bernilai sehingga RM1 juta boleh dilaksanakan terus di peringkat negeri atau daerah tanpa perlu melalui Jabatan Teknikal termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).


Selain itu, pengesahan kerja yang siap boleh dibuat oleh ketua jabatan atau pegawai yang diturunkan kuasa di peringkat agensi pelaksana negeri dan daerah dengan mematuhi kesempurnaan kerja mengikut tadbir urus yang baik.


Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata ia termasuk memberi jaminan kepada pegawai daerah bahawa mereka tidak akan diganggu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.


"Saya nak beri jaminan kepada pegawai-pegawai daerah, jangan bimbang kalau daripada segi teknikal sedikit, saya beritahu SPRM jangan ganggu kalau ada beberapa kelemahan prosedur teknikal.


"Yang kita harus ganggu ialah yang merompak kalau guna kontraktor yang sama itu akan disiasat. Nak dicepatkan hari ini saya bagi jaminan dan hari ini saya tegaskan semula saya beritahu kepada SPRM dan KPSU (Ketua Penolong Setiausaha) kita tidak akan rumitkan kerja pegawai daerah kerana saya tidak mahu lagi dengar ada kelewatan," katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis penutup Konvensyen Pembangunan dan Kesejahteraan Rakyat: 'Pembangunan Madani, Rakyat Disantuni' di Dewan Perdana, UiTM Cawangan Kedah di Merbok pada Sabtu.


Perdana Menteri berkata, kementerian juga mewujudkan Pasukan Pemantau Projek dengan penglibatan beberapa agensi serta pegawai pelbagai jabatan bagi membantu memantau pelaksanaan projek penyelenggaraan dan pembaikan kecil agar memenuhi objektif ditetapkan.


Jelasnya, kelonggaran ini berkuat kuasa serta merta sehingga 31 Disember tahun ini.


Sumber: Astro Awani


Kerajaan beri kelonggaran semua projek penyelenggaraan bawah RM1 juta kepada negeri, daerah - PM


bottom of page