KUALA TERENGGANU: Kuala Terengganu: Kerajaan Pusat meluluskan peruntukan RM3.4 juta bagi memulihkan lima projek perumahan terbengkalai di negeri ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata sebanyak 12 projek perumahan terbengkalai di seluruh negeri ini, tetapi hanya lima projek saja akan dipulihkan kerana kerja menyiapkan projek perumahan terbengkalai bukan tanggungjawab kerajaan, sebaliknya tugas pemaju perumahan.
"Secara keseluruhan, laporan daripada pasukan petugas projek perumahan swasta dan terbengkalai mendapati 12 projek perumahan terbengkalai dan 24 projek sakit di negeri ini," katanya selepas meninjau tiga projek perumahan sakit, di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Perumahan Swasta) Jabatan Perumahan Negara, Norsazila Nordin dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri, Ahmad Shah Muhamed.
Sementara itu, Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru berkata, sebanyak 435 projek perumahan sakit dan 112 projek perumahan terbengkalai di seluruh negara.
Katanya, sebanyak 92 projek sakit berjaya dibaik pulih, manakala 80 sudah memperoleh sijil kelayakan menduduki (CCC).
"Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan terus melakukan pemantauan secara berterusan bagi menangani masalah perumahan sakit dan terbengkalai di seluruh negara.
"Kita minta kerajaan negeri terus memberi kerjasama bagi mengenal pasti projek bersesuaian dan berupaya untuk dipulihkan tahun ini bagi kesejahteraan pembeli rumah yang terjejas," katanya.
Sumber: Berita Harian
Commenti