KUALA TERENGGANU: Kelewatan projek pembinaan menara pentadbiran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) disiapkan, menyebabkan kerajaan negeri terpaksa mengeluarkan peruntukan tambahan sebanyak RM49.6 juta bagi menampung kosnya.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Datuk Dr Alias Razak berkata, bangunan menara yang asalnya bernilai RM141.49 juta itu mula dibina pada 2013.
Berdasarkan jadual, beliau berkata, projek itu sepatutnya siap pada 18 September 2016 tetapi tertangguh hingga enam tahun akibat berapa faktor, termasuk perubahan reka bentuk, pelan susur atur dalaman serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Kerajaan negeri bersetuju melanjutkan tempohnya sebanyak tujuh kali bermula September 2016, kerana beberapa faktor termasuk pelaksanaan PKP sejak Mac 2020.
"Kos asal projek itu ialah RM141.49 juta tetapi berlaku penambahan peruntukan sebanyak RM49.6 juta. Ini menyebabkan keseluruhan peruntukan terpaksa dikeluarkan ialah sebanyak RM198.86 juta," katanya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal menjawab soalan Hilmi Harun (PAS-Manir) pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Dr Alias memaklumkan bahawa MBKT dijangka berpindah sepenuhnya ke menara baharu itu selepas memperoleh Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) dikeluarkan Lembaga Arkitek Malaysia.
"Ketika ini, perpindahan secara berperingkat mengikut jabatan sedang dilaksanakan.
"Kita menjangka MBKT dapat beroperasi sepenuhnya di menara baharu itu pada awal tahun depan," katanya.
Sumber: Harian Metro
Comentarios