top of page

Kerajaan perlu senarai hitam syarikat pembinaan abai masalah rakyat ketika buat projek


Kerajaan perlu senarai hitam syarikat pembinaan abai masalah rakyat ketika buat projek
Gambar hiasan

Kerajaan perlu senarai hitam syarikat pembinaan abai masalah rakyat ketika buat projek

KUALA LUMPUR: Sekretariat Gabungan Ikhlas Malaysia (IKHLAS) memohon kerajaan menyenaraihitamkan syarikat kontraktor pembinaan yang mengabaikan masalah rakyat dalam melaksanakan sesuatu projek.


Memberikan contoh projek pembinaan Mass Rapid Transit (MRT) yang dikatakan punca banjir kilat di Taman Kaya, Jalan Ipoh, di sini pada 2019, Pengerusi IKHLAS, Datuk Mohd Ridzuan Abdullah, berkata sehingga kini masih ada penduduk belum mendapat pampasan akibat bencana itu.


"Kita memohon kerajaan bertindak menyenaraihitamkan mana-mana syarikat yang tidak bertanggungjawab hingga mengabaikan kebajikan rakyat dan membebankan mereka akibat projek yang dijalankan syarikat itu.


"Saya mendapat aduan ada penduduk menunggu hingga lima tahun tetapi masih tidak menerima pampasan dijanjikan akibat projek dijalankan yang memberi kerugian pada rakyat.


Mereka (pihak syarikat) membuat pelbagai janji dan meminta jangan perbesarkan isu ini, tetapi akhirnya penduduk yang menjadi mangsa kerana tiada pampasan diberikan sehingga kini," katanya pada sidang media tuntutan pampasan penduduk yang dilanda banjir kilat akibat projek MRT SS2 (Link Dua) Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya, di Taman Kaya, di sini, semalam.


Sehubungan itu, Mohd Ridzuan berkata, IKHLAS memberikan tempoh seminggu kepada syarikat yang dilantik MRT Corp untuk bertanggungjawab dalam projek berkenaan supaya berunding dengan penduduk bagi mencari penyelesaian.


"Kita akan bawa mangsa membuat laporan polis terhadap mana-mana syarikat terbabit. Projek sudah siap dan diserahkan kepada Kementerian Pengangkutan, namun pampasan kepada mangsa banjir kilat yang dulu pun belum dilunaskan lagi.


"Jika syarikat gagal membuat rundingan seperti disyorkan, kita akan buat laporan polis," katanya.


Sementara itu, RK Sundrem, 60-an, seorang daripada penduduk yang menjadi mangsa banjir kilat lima tahun lalu berkata, syarikat pembinaan melawat mereka pada hari bencana itu berlaku pada 24 Disember 2019.


Katanya, syarikat berkenaan menyatakan mereka akan membayar pampasan sepenuhnya dan meminta isu itu tidak diperbesarkan.


"Sangat menyedihkan kerana setakat ini tiada bayaran pampasan dibuat kepada saya yang juga mangsa kes ini. Kecuaian teruk syarikat itu menguruskan sistem perparitan dan pengairan menyebabkan penduduk menjadi mangsa banjir kilat.


"Senarai kerosakan termasuk kesulitan dan ketidakselesaan hidup sudah dikemukakan kepada kontraktor dan syarikat insurans yang berkenaan seperti diminta mereka, tetapi akhirnya senyap begitu saja," katanya.

Sumber: Berita Harian


Kerajaan perlu senarai hitam syarikat pembinaan abai masalah rakyat ketika buat projek

bottom of page