top of page

Kerajaan lulus RM110 juta realisasi pembinaan jalan Sarikei – Kinyau


Kerajaan lulus RM110 juta realisasi pembinaan jalan Sarikei – Kinyau
Gambar hiasan: Projek pembinaan jalan raya sepanjang 17 kilometer menghubungkan Kampung Bukit Kinyau dan Sarikei.

Kerajaan lulus RM110 juta realisasi pembinaan jalan Sarikei – Kinyau

TANJUNG MANIS, 17 Mac: Kerajaan meluluskan peruntukan kira-kira RM110 juta untuk merealisasikan projek pembinaan jalan raya sepanjang 17 kilometer menghubungkan Kampung Bukit Kinyau dan Sarikei.


Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh berkata, daripada jumlah itu, kira-kira RM80 juta diluluskan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).


Sementara RM30 juta lagi ujarnya, diperuntukkan Kerajaan Sarawak melalui Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA).


“Saya amat berharap projek ini dipercepatkan kerana kemudahan ini amat ditunggu-tunggu oleh penduduk Kinyau. Malah dengan adanya jalan raya nanti, kita boleh melaksanakan projek-projek lain,” katanya ditemui selepas mengadakan kunjungan ke Bukit Kinyau, hari ini.


Menurut Len Talif, usaha kerajaan itu merupakan salah satu pendekatan penting demi menyediakan infrastruktur lengkap kepada penduduk di kawasan pedalaman Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang yang masih bergantung kepada sungai.


“Dalam perancangan awal, kita berhasrat membina jajaran jalan raya dari Sarikei ke Kinyau melalui Sentebu, tetapi oleh kerana peruntukan Kerajaan Persekutuan tidak mencukupi, jajaran itu dialihkan supaya dapat menampung kos tersebut.


“Pada masa yang sama, Kerajaan Sarawak memperuntukkan RM30 juta untuk menyambung jalan Sentebu ke jalan ini nanti. Peruntukan itu diluluskan di bawah Agensi Pembangunan Delta Rajang (RADDA),” katanya.


Sebelum ini, kerajaan melalui Ahli Parlimen Tanjong Manis, menyalurkan peruntukan lebih RM785 juta bagi pembinaan jalan menghubungi empat penempatan dari Kampung Paloh hingga ke Tanjung Manis.


Beliau berkata, perkembangan itu, secara tidak langsung memberi manfaat kepada masyarakat rumah panjang di Stalun yang sekian lama menanti kemudahan tersebut.


“Sebagai wakil rakyat di kawasan ini, saya ingin menzahirkan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan dan Negeri yang mendengar keluhan rakyat di kawasan kami. Saya berharap perancangan projek ini berjalan lancar,” katanya.


Sumber: TVS


Kerajaan lulus RM110 juta realisasi pembinaan jalan Sarikei – Kinyau

bottom of page