top of page

Projek ART Kuching ubah landskap pengangkutan di Sarawak


Projek ART Kuching ubah landskap pengangkutan di Sarawak
Sistem Aliran Transit Automasi (ART) Kuching

Projek ART Kuching ubah landskap pengangkutan di Sarawak

KUALA LUMPUR: Projek Sistem Aliran Transit Automasi (ART) Kuching yang menjadi sebahagian daripada fasa pertama pelan Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS) dengan anggaran kira-kira RM6 bilion menjadi bukti kepada tekad Sarawak untuk terus memperkasa prasarana di negeri itu.


Penganalisis RHB Investment Bank, Adam Mohamed Rahim, berkata fasa pertama projek yang mendapat pembiayaan penuh daripada kerajaan Sarawak itu membabitkan panjang jajaran mencecah kira-kira 70 kilometer merangkumi tiga landasan dan 31 stesen dengan landasan tersendiri.


"Kami percaya masih ada peluang kerja untuk digarap daripada projek ini terutama pakej 2 Garisan Biru dan pakej Garisan Hijau yang masih lagi belum ditawarkan.


"Syarikat yang berpotensi mendapat manfaat daripada pakej-pakej ini termasuklah Kimlun Corp Bhd dan KKB Engineering Bhd," katanya dalam satu nota penyelidikan.


Projek ART Kuching mempunyai tiga garisan iaitu Biru, Merah dan Hijau.


Pakej 1 Garisan Biru yang bernilai RM569 juta ditawarkan pada November 2023 kepada sebuah syarikat usaha sama (JV) yang membabitkan Ibraco Construction Bhd, China Railway Engineering Corp (M) Sdn Bhd dan Nanyang Tunnel Engineering.


Sementara itu, pakej kerja Garisan Merah yang bernilai RM943.3 juta diraih oleh syarikat JV yang terdiri daripada Sri Datai Construction (Sarawak), JV Builders dan CHEC Construction.

Adam berkata, pakej sistem bagi projek ART Kuching pula dianugerahkan kepada kontraktor pada Julai 2022 dan November 2022, yang mana kedua-duanya menelan belanja RM1.9 bilion.


Sementara itu, katanya kerja dalam kegiatan pembinaan awal Depoh Rembus berjaya diraih oleh Hock Seng Lee sebelum kontrak kerja penuh bernilai RM260 juta ditawarkan pada Disember 2023 kepada sebuah syarikat JV yang membabitkan IJM Construction Bhd (anak syarikat IJM Corporation Bhd), Azam Sehasrat dan Unique Deco.


"Depoh Rembus ini dibina di atas tanah berkeluasan 80 ekar yang akan menempatkan kemudahan-kemudahan antara lainnya seperti loji pengeluaran hidrogen, tempat letak kereta api, dan pusat kawalan operasi," katanya.


Mengenai peluang lain kepada kontraktor di bawah projek ART Kuching, Adam berkata berdasarkan pemerhatian bank pelaburan itu, pakej 1 Garisan Biru mungkin mencecah panjang sehingga 20 kilometer, manakala pakej 2 yang belum lagi ditawarkan akan membabitkan pembinaan sejauh tujuh kilometer.


"Selain itu, pakej Garisan Hijau (landasan terpanjang iaitu 30 kilometer) juga belum diberikan kepada mana-mana pihak dan nilainya mungkin lebih tinggi berbanding kontrak-kontrak yang pernah ditawarkan sebelum ini," katanya.


Beliau berkata, Kimlun sebelum ini pernah menyatakan hasrat untuk mengambil bahagian dalam ART Kuching.


Katanya, menurut Sarawak Metro, 20 peratus jajaran ART Kuching ini akan dibina secara bertingkat, dan hal ini membuka peluang kepada kumpulan itu untuk membekalkan komponen pratuang seperti galang kotak teruas yang menjadi produk terkenal syarikat.


"Kami turut tidak menolak kemungkinan untuk KBB Engineering melibatkan diri dalam projek ART Kuching terutamanya dalam kerja berkaitan fabrikasi untuk pembinaan loji pengeluaran hidrogen di depot Rembus," katanya.



Projek ART Kuching ubah landskap pengangkutan di Sarawak

bottom of page