top of page

Kabinet setuju pembangunan semula KL Sentral babit kos lebih RM1 bilion


Kabinet setuju pembangunan semula KL Sentral babit kos lebih RM1 bilion
Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral)

Kabinet setuju pembangunan semula KL Sentral babit kos lebih RM1 bilion

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri hari ini bersetuju secara prinsip dengan cadangan Kementerian Pengangkutan untuk membangunkan semula Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral).


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata pembangunan semula itu membabitkan kerjasama dengan pihak swasta iaitu Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) yang juga pemaju keseluruhan projek KL Sentral.


"Projek ini dibuat secara penswastaan iaitu tidak membabitkan implikasi kos kewangan kepada kerajaan kerana pembangunan semula stesen itu yang dianggarkan melebihi kos RM1 bilion, akan ditanggung oleh MRCB.


"Tetapi secara pulangannya, mereka diberikan hak untuk membangunkan kawasan di atas stesen berkenaan iaitu mereka boleh membina bangunan komersial, kondominium dan sebagainya," katanya pada sidang media, hari ini.


Loke berkata, biarpun kerajaan sudah bersetuju secara prinsip, ia tertakluk kepada perbincangan lanjut antara Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) dan MRCB.


Katanya, Kementerian Pengangkutan memberikan masa maksimum dua tahun untuk perbincangan antara kedua-dua pihak berkenaan selain berharap ia dapat dimuktamadkan lebih awal supaya pembangunan semula hab pengangkutan terbabit dapat dipercepatkan.


"Ini adalah satu projek yang penting untuk Kementerian Pengangkutan kerana ia adalah projek strategik yang perlu diberi keutamaan dan saya berharap ia (perbincangan dan perjanjian) dapat dimuktamadkan dalam tempoh kurang daripada setahun. Syaratnya ialah stesen itu mesti dibina terlebih dahulu sebelum sebarang pembangunan lain dibenarkan.


"Biarpun dalam pembangunan semula, stesen itu akan tetap beroperasi, tidak akan ada sebarang pemindahan stesen semasa pembinaan dijalankan kerana operasi stesen dilaksanakan secara serentak," katanya.


Mengulas lanjut, Loke berkata, KL Sentral adalah hab penting negara kerana terdapat pelbagai mod pengangkutan yang digunakan rakyat.


Jelasnya, kapasiti KL Sentral di awal pembinaannya adalah untuk menampung seramai 100,000 penumpang sehari, namun jumlah itu sudah bertambah kepada 200,000 orang.


"Jadi penggunaan KL Sentral memang sangat padat sekarang ini dan kalau kita berada di sana pada waktu puncak, memang ramai orang menggunakan pelbagai mod pengangkutan awam.


"Jadi kita merasakan bahawa kapasiti KL Sentral itu sudah tidak mencukupi, maka perlu ada pembangunan semula mengambil kira aspek keselamatan lebih canggih dan moden," katanya.


Sumber: Berita Harian


Kabinet setuju pembangunan semula KL Sentral babit kos lebih RM1 bilion


Comments


bottom of page