top of page

Johor arah jambatan utiliti Perigi Acheh dirobohkan


Johor arah jambatan utiliti Perigi Acheh dirobohkan
Jambatan servis (kiri) yang akan diruntuhkan demi keselamatan penduduk di kampung Perigi Acheh, Pasir Gudang, Johor. - Foto NSTP/Nur Aisyah Mazalan

Johor arah jambatan utiliti Perigi Acheh dirobohkan

PASIR GUDANG: Kerajaan Johor mengarahkan jambatan utiliti yang dibina bersebelahan jambatan baharu Perigi Acheh, di sini dirobohkan berikutan berlaku pergerakan tanah.


Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh, berkata situasi itu menyebabkan sebahagian struktur jambatan utiliti berkenaan yang sedang dalam pembinaan mendap dan runtuh sekali gus membahayakan penduduk kampung selain jambatan baharu Perigi Acheh yang sedang dibina.


Projek pembinaan jambatan baharu dan menaiktaraf jalan di Kampung Perigi Acheh oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor dengan kos RM14 juta, telah bermula sejak 2019 dan dijadualkan siap sepenuhnya pada penghujung 2024.


"Namun kerja naik taraf jalan dan pembinaan jambatan baharu di situ tergendala seketika akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penularan wabak COVID-19.


"Lebih merumitkan keadaan apabila projek itu disambung semula berlaku pula kejadian runtuhan yang membabitkan sebahagian struktur jambatan servis utiliti yang terletak di sebelah jambatan baharu Kampung Pergi Acheh yang sedang dibina pada 17 Ogos lalu.


"Kerajaan Johor telah buat keputusan untuk merobohkan jambatan servis utiliti itu dan saluran utiliti termasuk bekalan air dan elektrik akan dipindahkan ke kawasan lain, jadi JKR diarahkan untuk menyusun semula kerja pembinaan dengan konsultan dan kontraktor bagi memastikan projek ini tetap siap segera dan mengikut jadual.


"Pada awalnya, kos untuk membina jambatan servis utiliti ini adalah sebanyak RM700,000 namun bagi merobohkannya semula, dianggarkan keseluruhan kerugian kita adalah RM1 juta," katanya selepas meninjau tapak projek jambatan itu, semalam.


Runtuhan jambatan utiliti bersebelahan jambatan baharu Perigi Acheh yang sedang dibina pada 17 Ogos lalu itu dilaporkan menyebabkan berlaku litar pintas elektrik di kampung berkenaan selain berlaku gangguan bekalan air.


Dalam pada itu, Mohamad Fazli berkata, kajian akan dilakukan oleh JKR pusat bagi mengenal pasti punca sebahagian struktur jambatan servis utiliti berkenaan runtuh.


Katanya, pemantauan awal mendapati mendapan dan pergerakan tanah mengakibatkan sebahagian struktur jambatan utiliti itu runtuh dan membahayakan keselamatan penduduk selain merisikokan jambatan baharu Perigi Acheh yang sedang dibina di sebelahnya.


"Jambatan baharu Perigi Acheh sepanjang 85 meter di kampung ini dibina bertujuan bagi menggantikan struktur jambatan lama yang sebelum ini roboh pada 2016 akibat banjir.


"Kerajaan Johor amat peka dengan kebimbangan penduduk berikutan projek naiktaraf jalan dan pembinaan jambatan baharu yang tergendala dan membahayakan mereka. Namun kita beri jaminan langkah susulan segera sedang diambil bagi memastikan projek ini siap mengikut jadual demi keselesaan penduduk," katanya.


Dalam pada itu, penduduk Kampung Perigi Acheh, Mohd Firdaus Omar,32, berharap projek naik taraf jalan dan pembinaan jambatan baharu Perigi Acheh disegerakan.


"Penduduk trauma apabila jambatan servis utiliti runtuh Ogos lalu sehingga menyebabkan bekalan air menjadi tidak normal seperti sebelum ini.


"Malah jambatan sementara yang dibina kini sebenarnya sudah renggang dan berlubang di bahagian bawah serta dapat dilihat jelas rekahan di bawah oleh nelayan kampung kami sekali gus membimbangkan penduduk jika berlaku kejadian tidak diingini," katanya.


Sumber: Berita Harian


Johor arah jambatan utiliti Perigi Acheh dirobohkan

25 views

Comments


bottom of page