top of page

Projek bina jambatan hubungkan Bukit Pelandok-Sungai Pelek dimulakan tahun depan


Projek bina jambatan hubungkan Bukit Pelandok-Sungai Pelek dimulakan tahun depan
PENDUDUK dari Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang, Selangor menggunakan perkhidmatan bot penambang yang menghubungkan kedua-dua kawasan.-UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

Projek bina jambatan hubungkan Bukit Pelandok-Sungai Pelek dimulakan tahun depan

SEREMBAN: Kerja-kerja pembinaan jalan dan jambatan menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang di Selangor dijangka akan dimulakan tahun hadapan.


Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembinaan projek bernilai RM160 juta itu akan dimulakan sebaik sahaja beberapa perkara telah diselesaikan termasuk berkaitan urusan pengambilan tanah termasuk di Selangor.


“Memang bukan mudah untuk siapkan sebuah jambatan kalau tidak disambungkan dengan jalan sedia ada. Tanah ini merupakan milik orang ada kerja-kerja melibatkan negeri lain iaitu Selangor, ada isu tanah, laluan dan jajaran.


“Kelulusan telah ada namun bukannya ada kelulusan terus buat, kami harap penduduk di Chuah dapat tunggu sekejap, insya-Allah, tahun hadapan saya rasa banyak kerja-kerja boleh dijalankan apabila selesai pengambilan tanah dan persetujuan daripada kerajaan negeri Selangor,” katanya.


Aminuddin yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Infrastruktur, Utiliti dan Kemudahan Awam negeri berkata demikian sewaktu sesi pertanyaan-pertanyaan lisan, Persidangan Kedua (Perasmian) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-15 hari ini.


Beliau menjawab soalan Yew Boon Lye (PH-Chuah) yang bertanyakan status pembinaan projek berkenaan dan bilakah ia akan dimulakan.


Sementara itu, Aminuddin menjelaskan, jajaran projek itu juga telah dipersetujui oleh pihak Kementerian Desa dan Wilayah dan telah dibentang termasuk dalam mesyuarat perancang negeri yang telah bersidang pada 19 September lalu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri untuk tujuan pemakluman kepada kerajaan negeri.


“Jawatankuasa telah membuat keputusan untuk mengambil maklum cadangan jajaran projek tersebut dengan kos syiling sebanyak RM160 juta yang diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah,” katanya lagi.


Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2023 memaklumkan kerajaan akan melaksanakan beberapa projek berkaitan isu pelancongan dan kesesakan jalan raya yang telah menjejaskan lokasi tumpuan pelancong.


Ia termasuklah membina jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang dengan kos projek RM160 juta.


Utusan Malaysia pada bulan Mac lalu melaporkan pembinaan jalan dan jambatan Su­ngai Sepang pasti akan mengembirakan pendu­duk di Bukit Pelandok dan di Sungai Pelek, Selangor kerana ia dijangka akan memendekkan perjala­nan yang menghubungkan ke­dua-dua kawasan itu yang kini terpisah oleh sungai tersebut.


Penduduk ketika ini terpaksa menggunakan jalan sedia ada yang lebih jauh dan akan mengambil masa lebih kurang 30 minit sehingga satu jam dan bagi menjimatkan masa, penduduk juga menggunakan perkhidmatan bot penambang sebagai alternatif untuk berulang-alik dari dua kawasan ini.


Sumber: Utusan


Projek bina jambatan hubungkan Bukit Pelandok-Sungai Pelek dimulakan tahun depan


EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page