top of page

Pembinaan jalan, jambatan Sungai Sepang rancakkan ekonomi


Sungai Sepang
Gambar hiasan: Pembinaan jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang, Selangor.

Sungai Sepang

SEREMBAN - Pembinaan jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang, Selangor dijangka memberi impak ekonomi kepada penduduk setempat khususnya kawasan sempadan di situ.


Malah jelas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, sedia maklum dua kawasan peranginan iaitu Port Dickson di Negeri Sembilan serta Pantai Bagan Lalang di Sepang merupakan kawasan tumpuan orang ramai pada hujung minggu.


"Saya yakin kawasan ini akan bertambah luas, pesat dan memberi impak yang lebih positif pada masa akan datang susulan terbinanya jambatan ini nanti.

"Jika dapat dibantu selepas ini dengan pembinaan Lebuh Raya Pantai Barat (Jajaran Selatan), sekarang ini sampai di Banting, Selangor, jika ia sampai di Melaka pasti akan beri impak yang cukup besar kepada pelancongan pantai, khususnya di Pantai Barat Semenanjung Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Fiqh Al-Mizan dan Pelancaran Inisiatif Negeri Ke Atas Guru-Guru Takmir Negeri Sembilan di sini pada Sabtu.


Dalam pada itu, jelasnya ia dijangka dapat mengurangkan kesesakan lalu-lintas dan bagi yang hendak ke Klang, Selangor ia lebih dekat.


Anwar pada Belanjawan 2023 mengumumkan,kerajaan akan melaksanakan beberapa projek untuk membaik pulih jalan raya sebagai langkah untuk memperkasakan lagi industri pelancongan.


Katanya, kerajaan juga akan membelanjakan RM160 juta bagi membina jalan dan jambatan Sungai Sepang bagi menghubungkan Bukit Pelandok, Port Dickson dan Sungai Pelek, Sepang.


Selain itu, Aminuddin berkata, dalam belanjawan sama pembinaan Hospital Jelebu turut diberi keutamaan untuk dilaksanakan kerja menaik taraf bagi mengurangkan kesesakan di hospital utama iaitu Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) sekali gus meningkatkan kemudahan kesihatan terutama kepada masyarakat setempat.


Katanya, ia antara 26 hospital yang akan memulakan kerja awalan untuk dinaik taraf termasuk pembesaran Hospital Kuala Kangsar, Perak; Jelebu, Negeri Sembilan dan juga Hospital Pontian, Johor yang telah berusia hampir seabad.


Sumber: Sinar Harian


33 views

Comments


bottom of page