top of page

Isu perumahan terus menghantui rakyat


Isu perumahan terus menghantui rakyat
PENGGUNAAN Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) haruslah diperluaskan di seluruh negara. - GAMBAR HIASAN

Isu perumahan terus menghantui rakyat

SAUDARA PENGARANG,


RUMAH adalah salah satu keperluan asas dalam kehidupan seseorang supaya mampu berteduh atau berlindung daripada segala perkara yang membahayakan. Rumah mampu memberikan rasa bahagia dan ketenangan kepada mereka yang memilikinya.


Isu perumahan di negara ini sudah lama dibahaskan serta selalu menjadi perbualan atau perbincangan dalam kalangan rakyat.


Namun, isu perumahan ini masih lagi diperkatakan sehingga kini kerana banyak masalah yang timbul tidak dapat diselesaikan sepenuhnya lagi.


Antara isu sering ditimbulkan adalah projek perumahan berstatus lewat, sakit dan terbengkalai yang semakin meningkat kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan pandemik Covid-19. Difahamkan sehingga kini terdapat 110 projek lewat, 435 projek sakit dan 112 projek terbengkalai.


Masalah ini menjadi semakin teruk apabila kerajaan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang banyak untuk memulihkan projek-projek perumahan terbengkalai dan semestinya ramai pihak menanggung kerugian akibat masalah ini.


Dalam pada itu, jumlah rumah mampu milik yang terlampau sedikit juga antara isu sering diperkatakan. Harga rumah mampu milik perlu ditawarkan pada harga maksimum RM282,000 untuk isi rumah berpendapatan median atau penengah.


Namun, harga rumah mampu milik yang ditawarkan dalam pasaran ialah RM298,000 melebihi harga maksimum disyorkan.


Tahap ketidakmampuan rakyat untuk memiliki rumah menjadi salah satu faktor penghalang kepada mereka memiliki rumah sendiri. Kenaikan harga rumah mampu milik tentu sahaja membebankan rakyat berpendapatan rendah.


Dalam perkembangan berkaitan, peningkatan kos sara hidup juga menjadi sebab mengapa isu perumahan masih berlaku.


Apabila kos sara hidup meningkat, pendapatan rakyat menjadi semakin rendah dan tahap kesengsaraan mereka semakin tinggi.


Jumlah gaji yang rendah dan peningkatan kadar inflasi juga menambahkan kesengsaraan rakyat untuk membeli dan memiliki rumah.


Oleh itu, antara penyelesaian terhadap isu ini adalah sektor pembinaan perlu mengadaptasikan teknologi terkini yang mampu mengurangkan kos serta menjimatkan masa pembinaan sesebuah rumah.


Pada masa sekarang, kos pembinaan, kos pematuhan, kos tanah serta tenaga kerja untuk pembinaan rumah boleh mencecah sebanyak 80 peratus daripada harga rumah yang ditawarkan.


Oleh itu, cara tradisional yang memakan masa lama perlulah ditukar kepada bersifat moden untuk memastikan pembinaan rumah dapat disiapkan dapat tempoh masa ditetapkan oleh syarikat pemaju.


Namun, kecenderungan pemaju hartanah untuk menggunakan tenaga kerja kurang mahir akan menambahkan lagi kesukaran dalam sektor pembinaan untuk beralih kepada cara moden yang menggunakan teknologi lebih canggih.


Penggunaan teknologi pembinaan seperti Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) haruslah diperluaskan di Malaysia. Penggunaan teknologi IBS bukan sahaja mampu mengurangkan penggunaan bahan binaan, malah memendekkan tempoh pembinaan.


Penggunaan kaedah IBS sangat digalakkan kerana ia sesuai dengan konsep Malaysia Madani yang menekankan kepada daya cipta atau teknologi baharu.


Kesimpulannya, masalah perumahan dihadapi di negara ini perlulah diselesaikan untuk memastikan wujud kesejahteraan semua rakyat. Kesejahteraan adalah salah satu rukun yang terdapat dalam Malaysia Madani.


SERI ANUM MAISARAH P. RAMLI & DR. VELAN KUNJURAMAN, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)


Sumber: Utusan


Isu perumahan terus menghantui rakyat




9 views

Comments


bottom of page