top of page

40 projek perumahan terbengkalai dalam proses diselamatkan


40 projek perumahan terbengkalai dalam proses diselamatkan
Gambar hiasan

40 projek perumahan terbengkalai dalam proses diselamatkan

PUTRAJAYA: Lebih 40 daripada 112 projek perumahan terbengkalai yang dikenal pasti di seluruh negara kini dalam proses diselamatkan melalui pelbagai inisiatif Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).


Daripada 112 projek terbengkalai dikenal pasti setakat April lalu, 105 adalah projek yang bermula sebelum 2015 dan bakinya selepas itu.


Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pihaknya berbincang dengan pemaju lain untuk menyelamatkan projek perumahan terbengkalai atau melalui likuidasi.


"Lebih kurang 40 projek terbengkalai itu dalam proses untuk diselamatkan, sama ada berbincang dengan pemaju penyelamat, likuidasi atau sebagainya," katanya kepada pemberita selepas program Ibadah Korban KPKT bersama warga bomba di Balai Bomba dan Penyelamat Presint 14, di sini, hari ini.


Yang turut hadir, Ketua Setiausaha KPKT, Datuk M Noor Azman Taib dan Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Abdul Wahab Mat Yasin.


Beliau menjelaskan, projek perumahan dikategorikan terbengkalai selepas menepati kriteria ditetapkan dalam Akta 118 Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan Dan Pelesenan) 1966, termasuk apabila tidak ada kerja dilakukan di kawasan projek selama enam bulan.


"Menteri perlu mengesahkan status projek itu terbengkalai apabila tidak ada lagi kerja di tapak projek dengan mengambil kira pemaju tidak lagi berminat untuk menyiapkan projek terbabit. Apabila diisytihar terbengkalai, barulah kaedah lain boleh diambil kira.


"Jika syarikat asal telah gulung tikar, maka proses likuidasi akan diadakan. Selain itu, ada proses lantikan pemaju penyelamat atau mungkin diadakan perbincangan dengan pembeli bagaimana hendak menyelesaikan projek berkenaan," katanya.


Sumber: Berita Harian


40 projek perumahan terbengkalai dalam proses diselamatkan


2 views
bottom of page