top of page

Bangunan terbengkalai, terbiar jadi kuarters sementara pekerja asing


Kuarters penempatan sementara pekerja (TLQ)
Gambar hiasan: Kuarters penempatan sementara pekerja (TLQ)

KLANG – Bangunan terbengkalai atau terbiar khususnya di kawasan komersial berkemungkinan digunakan sebagai menangani pemasalahan penempatan pekerja asing di Selangor.


Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan dan Pengangkutan Awam negeri, Ng Sze Han berkata, bangunan itu boleh dijadikan sebagai kuarters penempatan sementara pekerja (TLQ) selaras peralihan daripada kawasan penempatan seperti flat atau pangsapuri sebelum ini.


Katanya, ini juga bertindak serampang dua mata bagi menyelesaikan bangunan terbengkalai dan terbiar di negeri ini.


“Ada kemungkinan kalau di kawasan komersial yang terbengkalai boleh digunakan bagi tujuan TLQ ini.


“Mungkin bukan semua sesuai namun kita berharap majikan boleh berjumpa dengan perancang bandar untuk membantu mereka menyediakan penempatan yang sesuai bagi pekerja asing,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan seminar asrama pekerja di sini hari ini.


Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah bangunan terbengkalai atau terbiar di Selangor.


Menurut Sze Han, garis panduan mengenai penempatan pekerja asing telah ada dengan pihaknya cuba mengelakkan masalah sosial khusus flat kos rendah yang kerap digunakan sebagai lokasi tempat tinggal pekerja asing ini.


Ujar beliau, ini juga mengambil kira persediaan menghadapi krisis-krisis pada masa akan datang selepas konflik Covid-19 sebelum ini.


“Penularan wabak Covid-19 di penempatan pekerja asing (di taman perumahan) yang kemudiannya merebak tanpa kawalan kerana pengurusan penempatan pekerja tidak teratur telah menyukarkan pihak berkuasa mengambil tindakan pemulihan.


“Secara kasarnya, Malaysia mempunyai kira-kira 2.4 juta pekerja asing dengan Selangor sebagai negeri pemacu ekonomi negara mempunyai sektor industri sangat besar,” katanya.


Mengulas mengenai Kuarters Pekerja Berpusat (CLQ), Sze Han menjelaskan CLQ akan memberikan imej baharu lebih baik mengenai pengurusan sumber manusia dan ekonomi Selangor di pentas antarabangsa.


“Menerusinya, majikan akan dapat melancarkan urusan permohonan permit pekerja asing dengan pihak kementerian.


“Di Selangor, ada beberapa projek CLQ baharu dalam pembinaan seperti di Balakong selain turut akan dilaksanakan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor(PKNS),” katanya.


Sumber: Kosmo!


bottom of page