PUTRAJAYA: Hutang berkaitan projek Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) dan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi - Ulu Kelang (SUKE) bukan di bawah tanggungjawab kerajaan, sebaliknya ia Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) sebagai pemegang konsesi.
Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam satu kenyataan menyebut, pemegang konsesi adalah pihak yang bertanggungjawab terhadap semua pembayaran kepada kontraktor dan bukannya kerajaan.
"Bagi mengelakkan kekeliruan, pemegang konsesi adalah pihak bertanggungjawab terhadap semua pembayaran kepada kontraktor dan bukannya kerajaan. Bagi kedua-dua lebuh raya ini, pemegang konsesinya adalah PROLINTAS.
"Kementerian mengambil maklum terhadap aduan beberapa kontraktor mengenai pembayaran lewat bagi kerja di DASH dan SUKE.
"Di bawah perjanjian konsesi yang dimeterai, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memiliki kuasa kawal selia bagi mengaudit untuk lebuh raya berkenaan dan melakukan intervensi.
"Berikutan itu, KKR sudah mengarahkan LLM untuk segera mengadakan pertemuan dengan pemegang konsesi terbabit, kontraktor dan subkontraktor bagi menangani masalah hutang tertunggak seperti diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Perdana Menteri meminta KKR memberi penjelasan terperinci dan memastikan sebarang hutang berkaitan projek DASH, diselesaikan.
"Mesti ada sebab bayaran itu tidak dijelaskan dan walaupun selepas projek itu siap, kita harus melihat sama ada ia memenuhi kepuasan kementerian," katanya.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu dakwaan hutang berjumlah lebih RM80 juta, yang belum dibayar kepada sebilangan subkontraktor projek DASH, menyebabkan subkontraktor terbabit mengalami masalah.
Lebuh raya DASH sepanjang 20.1 kilometer dengan 13 persimpangan keluar masuk dibuka mulai 12.01 tengah malam Jumaat lalu.
Persimpangan itu ialah di Puncak Perdana, Alam Suria, Denai Alam, Kampung Melayu Subang, Pinggiran Subang, Subang Dua, Subang Airport, RRIM (Kwasa Damansara), Surian, Seksyen 5 Kota Damansara, Sunway Damansara, Damansara Perdana dan Penchala.
DASH menghubungkan tiga lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT).
Sumber: Berita Harian
Comentários