top of page

Harga jualan simen di Malaysia kekal tinggi


Pengeluaran simen berjumlah 2.5 juta tan pada Februari - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Harga jualan purata simen pukal di Malaysia masih tinggi iaitu RM390 satu tan setakat Mac akibat sela masa lebih lama untuk melepasi kenaikan harga arang batu oleh pengeluar simen tempatan.


Penganalisis RHB Investment Bank, Oong Chun Sung, berkata berdasarkan statistik dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pengeluaran simen berjumlah 2.5 juta tan pada Februari, lebih tinggi daripada purata bulanan prapandemik iaitu 1.3 juta tan.


"Kami kekal dengan pandangan optimis sambil berjaga-jaga terhadap sektor simen, diperkukuh oleh pembetulan mendadak sebanyak purata 50 peratus harga bahan mentah baru-baru ini iaitu arang batu (yang merangkumi 50 peratus daripada jumlah kos pengeluaran simen)," katanya dalam satu nota penyelidikan.


Chun Sung berkata, pengeluar simen yang dikaji oleh bank pelaburan itu khususnya Cahya Mata Sarawak (CMS), seharusnya meraih manfaat besar daripada peruntukan lebih tinggi Belanjawan 2023 untuk Malaysia Timur.


"Permintaan simen di Sarawak sepatutnya dapat memberi kebolehlihatan perolehan buat CMS yang diperkukuh oleh projek-projek pembinaan negeri yang masih lagi berjalan seperti Empangan Baleh (dijangka selesai sebelum 2026), jalan pesisir pantai Sarawak, jalan utama kedua negeri itu, selain Lebuhraya Pan Borneo," katanya.


Mengenai satu lagi bahan utama pembinaan, beliau berkata harga aluminium dijangka kekal tidak menentu pada separuh pertama 2023 kerana pertumbuhan ekonomi sedunia mungkin akan perlahan.


"Namun begitu, kami percaya profil risiko-ganjaran buat sektor ini masih positif,diperkukuh oleh pelonggaran sekatan COVID19 di China, dan jangkaan kitaran kenaikan harga hampir tamat.


"Press Metal ialah (syarikat) pilihan utama kami, kerana ia proksi kepada relau lebur aluminium yang melepaskan paras karbon rendah di rantau ASEAN, dan menerima manfaat daripada peralihan permintaan kepada relau lebur Asia tatkala gangguan pengeluaran sedang berlaku di Eropah," katanya.


Aluminium London Metal Exchange (LME) diniagakan pada AS$2,200 hingga AS$2,600 satu tan sejak awal 2023, kerana kembimbangan mengenai pertumbuhan ekonomi sedunia yang semakin perlahan mengimbangi keterujaan terhadap pembukaan semula sempadan China.


Meskipun Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) meningkatkan kadar faedah penanda arasnya sebanyak 25 mata asas pada mesyuarat yang diadakan pada Mac, harga aluminium LME kekal stabil pada AS$2,368 satu tan pada 1 Mei berbanding AS$2,400 satu tan pada suku pertama 2023.


Sumber: Berita Harian

EvolusiBina evolusi bina CIDB JKR Tender Projek ccd cpd cep point kontraktor

Let's Collaborate!

Want to get in touch? We'd love to hear from you.

Copyright © 2024 EvolusiBina. All rights reserved.

bottom of page